Pendahuluan
Pernahkah anda menonton filem Bollywood arahan Sutradara Karan Johar bertajuk My Name Is Khan? Filem ini merupakan salah satu daripada filem bertaraf “Box Office” yang mula ditayangkan di pawagam pada 11 Februari 2010. Pelbagai reaksi dan maklum balas telah diberikan oleh masyarakat dunia. Ada yang memuji melangit dan ada yang mengeji mencemuh plot cerita yang digarap secara komersial tanpa merujuk kepada norma-norma agama yang sebenar. Ia bolehlah dianggap sekadar penyedap rasa untuk menghiburkan penonton yang hadir ke pawagam.

Filem “My Name Is Khan” merupakan muslihat musuh Islam dalam menjajah minda dan emosi umatnya secara halus
Plot Filem
Filem “My Name is Khan” menceritakan tentang perihal perjalanan hidup seorang anak lelaki yang dilahirkan berpenyakit Autis (Asparger Sindrome). Namanya Risvan Khan (dilakonkan oleh Shah Rukh Khan) pemuda dari India yang berpindah ke Amerika mengikuti adiknya (Zakir), kemudian ia berkahwin dengan Mandira (dilakonkan oleh Kajol Devgan) walau ditentang keluarganya kerana perbezaan agama.

Peristiwa 911 menjadi titik permulaan serangan ke atas umat Islam secara terhormat dan terancang oleh musuh Islam
Tragedi pengeboman New York, World Trade Centre (WTC) pada 11 September telah merubah landskap dan politik di Amerika di mana umat Islam dilabelkan sebagai Teroris. Kebahagian mereka yang terbina dari percantuman dua agama menjadi kompleks kerana stigma teroris yang digambarkan kepada umat muslim telah memberikan kesan negatif kepada Khan. Ekoran kematian Sam (anak lelaki Mandira), perasaan benci dan marah timbul di hati Mandira.
Ia menyebabkan Mandira tidak dapat menerima kenyataan suaminya seorang Muslim. Oleh kerana tertekan dengan perlakuan Mandira yang masih skeptikal terhadapnya maka beliau memulakan pengembaraan solonya untuk bertemu Presiden Amerika. Pada pandangan beliau, pengembaraan ini merupakan misi untuk menghapuskan stigma atau persepsi liar terhadap umat Muslim sebagai TERORIS. Dan pada masa yang sama, Khan juga mengharapkan kembalinya cinta dan kasih sayang daripada Mandira dengan menyempurnakan misi untuk menyampaikan ucapan “My Name Is Khan, I am not a terrorist“ kepada Presiden Amerika.
Setiap orang boleh sahaja mengatakan bahawa filem ini adalah filem yang inspiratif, mengharukan, dan penuh mesej moral. Namun, di sebalik itu semua, filem ini juga membawa nilai-nilai sejagat (universal) yang merbahaya kepada aqidah umat Islam. Di dalamnya penuh sarat akan tindakan dan perhal-hal yang bertentangan dengan syariat Islam. Salah satu nilai merbahaya yang digarapkan ke dalam filem ini adalah Pluralisme Agama. Kefahaman ini amat jelas bertentangan dengan syariat Islam di mana ia menganggap bahawa SEMUA AGAMA SAMA BENAR. Hasil semakan dan penelitian mendapati sekurang-kurangnya terdapat tiga “scene” menonjolkan nilai-nilai Pluralisme Agama secara terang-terangan dan menggelirukan umat Islam.
Scene 1 – Doktrin Keamanan Sejagat Tanpa Perbezaan Anutan Agama

Pertembungan ideologi dan agama menjadi bom jangka kepada umat Islam yang tinggal di dalam negara bukan Islam untuk dijadikan mangsa
Di dalam filem ini digambarkan Khan ketika kecil di mana kehidupannya dikelilingi oleh situasi konflik agama di antara penganut Hindu dan Muslim. Ketika Khan berada di anjung rumahnya, beliau terdengar suara protes dan amarah masyarakat Muslim sedang marah terhadap rusuhan yang berlaku dengan melaungkan kata-kata; “musnahkan dan hancurkan…..” Ungkapan kata ini diulang-ulang oleh Khan di dalam rumahnya. Tiba-tiba beliau dimarahi oleh ibunya (Razia) sambil melarangnya dari terus mengungkap kata-kata tersebut.

Adegan Khan mendengar keluhan masyarakat Islam tentang ketidakpuasan hati terhadap penganut Hindu yang datang menyerang kampung mereka
Razia menerangkan kepada Khan tentang hakikat KEBAIKAN dan KEJAHATAN sambil memberikan contoh secara melukis gambar dua karektor berbeza di mana yang satu membawa tongkat (yang kemudian disebut orang jahat) dan orang lain yang membawa lollipop (yang kemudian dianggap sebagai orang baik). Di antara petikan dialog yang diungkapkan oleh ibunya;
“Di dunia ini hanya ada dua perbezaan, iaitu KEBAIKAN dan KEJAHATAN. Baik, jika seseorang itu berbuat kebaikan, dan Jahat sekiranya seseorang itu berbuat kejahatan. Jadi tidak ada Muslim dan Hindu”.

Ideologi Pluralisme Agama telah digarap secara halus oleh sutradara dengan menonjolkan nilai-nilai kemanusian sebagai mesej utama
Jika diamati dialog di atas, sudah pasti akan tergambar di fikiran kita DOKTRIN PLURALISME AGAMA yang ingin disampaikan bahawa semua agama adalah sama. Secara umumnya, semua agama di dunia pasti mengajarkan kebaikan di dalamnya. Namun begitu, pendapat ini telah disanggah oleh Allah S.W.T secara total. Malah kita diminta menyakini Islam sebagai Ad-Diin dengan menolak KONSEP tidak ada perbezaan Islam dengan agama yang lain merujuk kepada FirmanNya yang bermaksud;
“Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah ialah ISLAM. Dan tiada bertelingkah Ahli Kitab itu, melainkan setelah datang ilmu pengetahuan kepada mereka, disebabkan berdengki-dengkian sesama mereka. Barangsiapa mengingkari ayat-ayat Allah, maka sesungguhnya Allah itu tersangat cepat mengira.”
Surah Ali-Imran ; Ayat 19
Scene 2 – Doktrin Perkahwinan Campur
Adegan seterusnya ialah sikap Khan yang berkeras untuk menikahi Mandira iaitu seorang ibu tunggal yang menganut agama Hindu. Walaupun beliau sudah diingatkan oleh Zakir (adiknya), bahawa hukum HARAM berkahwin dengan wanita yang berbeza keyakinan dan kepercayaan agama. Namun, Khan memiliki keyakinan bahawa tidak ada yang membezakan antara agama Islam dan Hindu. Sebaliknya, yang ada hanyalah manusia yang BAIK dan manusia yang JAHAT (sebagaimana yang dikatakan oleh ibunya). Tindakan Khan ini sekaligus telah menimbulkan satu perspektif yang salah kepada ajaran Islam dan syariatnya. Perkara ini tidaklah menggemparkan kita, ini kerana pelakon Shah Rukh Khan (Rizvan Khan) sendiri dalam kehidupan realitinya di luar dunia lakonan juga berkahwin dengan Gauri Khan seorang penganut Hindu. Larangan perkahwinan di kalangan umat Islam dan bukan Islam telah diterangkan oleh Allah S.W.T dengan FirmanNya yang bermaksud;
“Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam) dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) dengan lelaki–lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam). Dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. (Yang demikian ialah kerana) orang-orang kafir itu mengajak ke neraka, sedang Allah mengajak ke Syurga dan memberi keampunan dengan izinNya. Dan Allah menjelaskan ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) kepada umat manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran (daripadanya).”
Surah Al-Baqarah : Ayat 221