ADA APA DENGAN AES?


Pendahuluan

Kini, masyarakat di sekeliling kita asyik mempolemikkan isu pemasangan Sistem Penguatkuasaan Automatik (Automated Enforcement System – AES) di spot-spot tertentu. Pemilihan lokasi ini adalah disebabkan kawasan tersebut sering berlakunya kemalangan yang melibatkan KEMATIAN nyawa dan KECELAKAAN kepada pengguna. Merujuk kepada catatan Muhammad Shaahidun Shayaa dalam menghuraikan permasalahan ini telah merumuskan betapa masyarakat kita mempunyai PERSEPSI negatif kepada pemasangan AES.

Penggunaan AES mampu mengurangkan masalah kekurangan kakitangan untuk melaksanakan penguatkuasaan lalulintas

Coretan artikal ini sedikit sebanyak dapat menerangkan permasalahan. Isu ini semakin panas diperdebatkan di dalam media massa dan media cetak sejak beberapa hari yang lepas, apabila ahli-ahli politik pembangkang memperbesarkan isu ini dan menjadikannya persis sebuah SARKAS.

Senario AES – Keliru dan Celaru

Adakah AES keliru lagi mengelirukan pengguna atau minda pengguna itu sendiri yang celaru

Kenapa kita begitu kuat mempertahankan pesalah-pesalah trafik? Bukankah kita menggunakan jalanraya setiap hari dan menyedari betapa tingkahlaku sesetengah pengguna-pengguna jalanraya adalah sangat menjengkelkan dan merbahaya?

Memandu melebihi had laju, melanggar lampu isyarat, memotong barisan, memotong di jalan garisan dua selari serta mereka yang memasuki jalan-jalan larangan pada waktu-waktu yang sibuk; ini semua adalah senario harian dalam pengalaman pemanduan kita semua.

Adakah kita ini semata-mata sebuah negara yang dipenuhi pengguna-pengguna jalanraya yang tidak bertimbang rasa sehinggakan kita harus menyuarakan ketidakpuasan hati kita kepada sebuah sistem baru yang boleh memastikan keselamatan jalanraya untuk kita semua?

Penggunaan AES Di Negara Luar

AES telah pun dilaksanakan di seluruh dunia terutamanya di negara-negara membangun seperti Perancis, Jerman, Australia, Singapura dan Amerika Syarikat. Terdapat lebih daripada 90 negara-negara di seluruh dunia yang melaksanakan sistem elektronik yang serupa, dan hasilnya amat memberangsangkan.

Kita ambil contoh Perancis di mana jumlah kematian akibat kemalangan jalanraya telah menurun sebanyak 27 peratus dalam tempoh hanya tiga tahun selepas dilaksanakan. Di Kuwait, kadar kemalangan trafik telah berkurangan sebanyak 48 peratus sementara di Jerman pula, 80 peratus daripada pengguna-pengguna jalanraya telah mula mematuhi peraturan-peraturan jalanraya di kawasan-kawasan yang diletakkan di bawah pengawasan AES.

Senarai kawasan “hotspot” (pilot project – Lembah Klang) yang telah dipasang AES telah mencatatkan bilangan kesalahan yang amat mengerikan. Senario ini membuktikan pemanduan kenderaan di jalan raya di tahap merbahaya

Sejak fasa pertama pelancarannya di negara kita pada 23 September tahun ini, 14 buah kamera yang telah dipasang di kawasan-kawasan “blackspot” di Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya telah dilaporkan dapat merakamkan sejumlah 63,558 kesalahan-kesalahan trafik dalam masa lapan hari yang pertama.

Perangkaan ini seharusnya mengingatkan kita semua agar mematuhi undang-undang trafik, bukannya untuk kita menimbulkan satu bentuk perbalahan yang menuduh pihak kerajaan sedang cuba untuk merompak kita semua! Dan tahukah anda bahawa jumlah pemandu yang didapati melakukan kesalahan-kesalahan trafik telah berkurangan lebih daripada separuh sejak minggu lepas?

Pengguna-pengguna jalanraya kini bertambah berwaspada dan lebih mematuhi undang-undang trafik kerana mereka tidak mahu ditangkap melakukan kesalahan oleh kamera berkuasa tinggi yang diletakkan di tepi jalanraya-jalanraya kita. Kenapa ini dianggap sebagai sesuatu yang membebankan rakyat Malaysia?

Kelebihan-Kelebihan AES

Maklumat ringkas berkaitan AES yang perlu diketahui oleh semua pengguna jalan raya

AES membawa banyak kelebihan-kelebihan, selain daripada objektif utamanya untuk memastikan keselamatan setiap pengguna-pengguna jalanraya. Eloklah kita diingatkan bahawa AES bukanlah sebuah sistem di mana kamera-kamera tersembunyi digunakan oleh pegawai-pegawai polis trafik yang terpaksa bersembunyi di celah semak samun sepanjang lebuhraya-lebuhraya kita. Papan-papan tanda amaran diletakkan berdekatan lokasi-lokasi AES untuk mengingatkan kita agar mematuhi undang-undang. Gambar-gambar kenderaan serta nombor plet pesalah-pesalah akan diproses di pusat kawalan AES dan akan diserahkan kepada JPJ untuk pengeluaran denda atau saman.

a)  Mengurang dan menghapuskan amalan rasuah

Apa yang membingungkan lagi adalah sikap sesetengah anggota masyarakat yang menolak AES sedangkan ianya adalah sebuah sistem yang mengurangkan kebergantungan terhadap pihak polis dalam pengeluaran saman, ini bermakna kita dapat mengurangkan atau menghapuskan rasuah dalam kalangan anggota polis trafik. Bukankah ini apa yang kita aspirasikan bersama? Kita kerap menyelar pihak polis dan menuduh mereka mengamalkan rasuah, dan dengan tiba-tiba, kita menolak pula sebuah sistem yang mampu mengurangkan atau menghapuskan amalan rasuah. Kita menentang amalan rasuah namun pada masa yang sama kita tidak berasa bersalah apabila kita melanggar undang-undang jalanraya?

b)  Mengurangkan bilangan kakitangan

Satu lagi aspek yang bagus tentang AES adalah ianya membantu mengurangkan jumlah kakitangan yang melaksanakan tugas-tugas ini secara manual sebelum ini, sebagai contoh pegawai-pegawai polis yang bersembunyi di celah semak-samun. Mereka boleh ditugaskan untuk melaksanakan perkhidmatan-perkhidmatan lain yang lebih membawa nilai tambahan sebagai contoh membantu mengurangkan kesesakan lalulintas di sekitar bandaraya. Memang kita tidak suka diperhatikan sewaktu kita memandu, kita juga perlu tahu bahawa pegawai-pegawai polis itu pun tidak suka bersembunyi untuk menangkap anda. Mereka juga ada tugas-tugas lain.

c)  Mempertingkatkan keberkesanan penguatkuasaan trafik

AES mampu mempertingkatkan keberkesanan penguatkuasaan trafik melalui sebuah sistem yang berfungsi 24 jam, di bawah setiap jenis cuaca atau keadaan. Ia juga tidak mendiskriminasi, kerana tidak wujud sebarang interaksi peribadi di antara sistem ini dan pesalah-pesalah, dan ia juga tidak mendiskriminasi antara kenderaan-kenderaan persendirian, komersil mahukan awam.

d)  Meningkatkan tahap kesedaran pengguna jalanraya

AES juga mensasar untuk meningkatkan tahap PERCEPTION OF BEING CAUGHT (POBC) dalam kalangan pengguna-pengguna jalanraya Malaysia demi mengurangkan kadar kemalangan jalanraya. Biasanya, kadar POBC dalam kalangan pengguna jalanraya tempatan adalah 25 peratus pada hari-hari biasa dan 50 peratus pada musim-musim perayaan apabila kempen-kempen keselamatan jalanraya seperti Ops Sikap dijalankan.

Apa salahnya jika kita berikan peluang kepada pihak berkuasa menguatkuasakan AES dalam tempoh tiga bulan. Selepas itu, barulah kita berikan komen atau bantahan

Di negara-negara maju di mana pengguna-pengguna jalanraya lebih berdisiplin dan berpengetahuan, kadar POBC mereka adalah di antara 80-90 peratus. Kita masih lagi jauh di belakang, namun kita sedang berada di landasan yang betul. Kita tunggu dan lihat saja apa akan berlaku apabila lebih banyak kamera lagi dipasang di kesemua 817 kawasan-kawasan “blackspot” di seluruh negara.

Kenapa perlu kecoh?

Sesetengah orang mula memanggil AES sebagai “rompakan lebuhraya” dan ada juga yang mahu nama sistem ini ditukar kepada “Saman 1-Malaysia.” Ketua Menteri Pulau Pinang menyifatkan AES sebagai satu alat untuk memeras rakyat demi keuntungan dan bukannya berfungsi sebagai satu usaha pencegahan kesalahan-kesalahan trafik.

Kenapa hendak bangkang AES? Kepentingan politik atau kesejahteraan rakyat?

Setiap perniagaan perlu mendapatkan keuntungan, begitu juga dengan syarikat-syarikat yang telah mendapat kontrak pembekalan dan pengoperasian AES ini. Menurut Kementerian Pengangkutan, pihak kerajaan tidak mengeluarkan kos walau satu sen pun untuk AES dan syarikat-syarikat tersebut perlu menanggung segala kosnya.

Sekiranya ini benar, maka pihak syarikat perlu mendapatkan pinjaman dari institusi-institusi kewangan untuk membeli kamera-kamera serta teknologi ini, dan sama seperti perniagaan lain, syarikat-syarikat ini perlu mendapatkan pulangan dari pelaburan mereka.

Pengenalan MyEG tidak pernah dibantah oleh pengguna. Kenapa AES menjadi mendapat kecaman hebat tanpa diberikan peluang seperti MyEG?

Tiada siapa yang membuat kecoh apabila MyeG Berhad mengenakan sedikit bayaran pemprosesan untuk memproses permohonan-permohonan online seperti saman trafik dan pembaharuan lesen cukai jalan, jadi kenapa segelintir masyarakat menyuarakan kemarahan mereka terhadap kerajaan dan dua buah syarikat ini sedangkan mereka sedang menjalankan model perniagaan yang serupa?

Kesimpulan

Tidak perlu ada sebarang perbalahan tentang AES sekiranya kita mahu menjadi sebuah masyarakat yang bertamadun, berbudaya dan matang. Kita berharap dengan penuh keyakinan agar dalam jangka panjang, AES akan berkesan dalam mengurangkan kadar kemalangan maut, seperti mana yang terbukti di banyak negara-negara lain di seluruh dunia. Kini ada kira-kira 20 juta kenderaan berdaftar di negara kita dan kadar kemalangan jalanraya dan kematian akibatnya semakin berkembang setiap tahun.

Memang tidak dapat kita nafikan bahawa pengeluaran saman-saman ini tidak mungkin akan dapat membenteras pemandu-pemandu tidak bertanggungjawab dari mendatangkan bahaya kepada orang lain, namun sebarang usaha yang bertujuan untuk memastikan jalanraya kita selamat digunakan haruslah sentiasa kita sokong.

6 thoughts on “ADA APA DENGAN AES?

  1. tidak setuju dengan pengunaan AES .. nampak gayanya kena spray pd kamera berkenaan ataupun sengetkan tiang kamera tersebut, hehehe!!

    • AES boleh dijadikan tool untuk menilai tabiat pemandu yang suka melanggar undang-undang jalan raya. Jika kita pasang AES di kawasan 50 km/jam, kita akan dapat melihat betapa bebalnya pemandu yang tidak sayang kepada nyawa sendiri….

  2. mmg tidak berbaloi perjalanan daripada tol Subang ke tol Juru Pulau Pinang sy dikenakan 4 saman laju angkara penguatkuasaan AES, tol PLUS pun kena bayar .. cekik darahhhh tul !! kenderaan yg cukup sihat pun tiada istimewanya pada masa ini, kena naik kancil ngan keldai je ler.

  3. AES hanya alat/tools untuk membantu kerajaan melaksanakan enforcement bagi kesalahan jalan raya dan intipatinya masih lagi berbentuk hukuman/punishment iaitu melalui denda (read saman). Jika tanpa AES sekalipun, medium utama yang digunakan untuk menghukum kesalahan jalan raya ialah melalui saman. Adakah melalui saman merupakan pendekatan yang holistik dalam menangani isu pelanggaran undang-undang jalan raya. Tiada cara lainkah selain saman? Bagaimana dengan sistem demerit bagi mereka yang membuat kesalahan jalan raya atau penghargaan kepada mereka yang tidak melanggar peraturan jalan raya seperti pemberian insentif pelepasan cukai, rebat tunai dan sebagainya?

    Pada pendapat saya AES hanya tools bagi membantu kerajaan, namun ia masih lagi belum cukup holistik. Spiritnya masih lagi sama…SAMAN…dan pemandu kita perlu membayar atas kesalahan yang dilakukan.

    Apakata ubah sikit kaedah menghukum. Sebagai contoh setiap pemandu diberi merit 10 mata. Apabila dia memandu laju dan ditangkap oleh kamera AES, 3 mata akan demerit sampailah berulang kesalahan kali ke tiga. Bagi kesalahan kali ke-4, saman akan dikeluarkan. Dan sekiranya berlaku lagi kesalahan memandu laju maka lesen akan digantung dan pemandu diwajibkan mengulang kelas memandu selama 10-15 jam barulah lesen akan diberikan semula kepada pemandu. Melalui kaedah panjang dan melecehkan ini, akan mencetuskan POBC kepada para pengguna jalan raya dan seterusnya mendidik pengguna mematuhi peraturan jalan raya.

    Begitu juga kaedah penghargaan kepada pemandu yang memandu secara berhemah dan tidak pernah mempunyai saman dalam tempoh 3 tahun layak diberi pelepasan bayaran memperbaharui lesen selama setahun (RM30/tahun) atau potongan cukai jalan 50%. Bukankah ini akan menggalakkan lagi budaya mematuhi peraturan jalan raya disamping mengurangkan beban rakyat sedikit sebanyak?

    My 2 cents…agree to disagree…

  4. nak bagi kesedaran x perlu sorok camera aes tu//tulis n bagi peringatan di depan ada camera aes…buat dua tiga peringatan….tulis had laju sepatutnya bagi jalan tu…kalau semua tu dah ada degil lagi baru saman…ni nak sorok kenapa…memang nak bagi orang kena la….tulis lagi setiap traffic light ini dilengkapi camera aes…nak langgar lagi kena saman…lengkapkan jalan2 dgn semua tu…hadlaju bagi setiap jalan kena la sepadan dgn jalan…xder la jalan lurus hadlaju 60km/j…

Tinggalkan komen