ADA APA DENGAN GUBRA?


 

Sutradara Yasmin Ahmad

Filem Gubra merupakan hasil garapan sutradara Yasmin Ahmad yang telah dinobatkan sebagai filem terbaik Festival Filem Malaysia yang ke-19 yang diadakan pada 13 Ogos 2006. Filem Gubra ini merupakan sambungan daripada filem Sepet. Dalam filem Sepet, didedahkan hubungan gadis Melayu bandar belasan tahun dengan pemuda Cina yang menjual CD cetak rompak haram di pasar-pasar malam. Malangnya pemuda Cina tersebut telah terbunuh dalam satu kemalangan jalan raya. Dalam filem Gubra, gadis Melayu ini bercinta lagi dengan pemuda Cina yang lain sungguhpun dia telah berkahwin dengan pemuda Melayu. Pemuda Melayu yang dilakonkan oleh Adlin Aman Ramlie ini tersangatlah hipokrit. Kononnya dia sangat cintakan isterinya tetapi pada masa yang lain sempat berdua-duaan dengan perempuan lain. Secara ringkasnya, filem Sepet adalah kisah cinta dua insan manakala filem Gubra adalah menyambung kisah cinta berlainan agama yang cuba menjangkau ke daerah toleransi agama menurut fahaman pengarahnya.

Pluralisme Agama

Gubra merupakan filem Melayu yang menerapkan agenda Inter-Faith ala John Hick yang mempelopori ideologi sesat PLURALISME Barat yang menekankan konsep “Semua Agama Adalah SAMA”. Mesej yang cuba disampaikan ialah agama adalah agenda individu. Terdapat agenda inter-Faith dalam filem ini iaitu watak munajat seorang bekas pelacur berganti watak lain di gereja dan kemudian upacara sembahyang di tokong oleh pasangan Cina. Mesej halus yang mungkin cuba disampaikan ialah semua agama menawarkan kebenaran (Ahmad Adnan & Riduan 2006).

Filem berteraskan Pluralisme Agama

Filem Gubra merupakan sebuah filem yang didakwa oleh sesetengah pihak sebagai mendewa-dewakan budaya Barat tetapi ditonjolkan dalam konteks Melayu. Menurut mereka, ia menonjolkan mereka yang berbudayakan barat tetapi berpakaian baju kurung  dan baju Melayu. Filem ini juga didakwa mengeksploitasikan nilai kejutan atau “shock value” bagi temanya, dengan meletakkan perkara yang bercanggah, contohnya orang Islam, tetapi melacur. Perkara ini dianggap oleh mereka mungkin tidak mengejutkan sekiranya ditonjolkan oleh orang Barat, tetapi menurut mereka yang mengkritik dengan mengalihkan dua budaya yang bertentangan, konsep nilai kejutan ini memberi kesan yang sangat kontras yang menyebabkan timbulnya perasaan tidak puas hati oleh para penonton. 

Babak-babak ini antara yang disebut sebagai punca kontroversi:-

  1. Sekelompok wanita Islam menjadi pelacur  dengan alasan mencari rezeki secara terbuka, tanpa malu atau cuba merahsiakan pekerjaan mereka.
  2. Ditonjolkan juga Pak Bilal lakonan Nam Ron  dan isterinya didakwa seolah-olah merestui pencarian rezeki dengan tidak cuba menasihati pelacur tersebut, seolah-olah pelacuran merupakan kerja yang dibolehkan. Ini membelakangi ajaran al-Quran yang menganjur kita mengajak kearah kebaikan, dan melarang kepada kemungkaran. Ini menyerupai nilai barat bahawa ugama dan kehidupan sekular diasingkan.
  3. Terdapat dialog dalam filem tersebut ‘wanita Islam’ hanya perlu memakai tudung atas kehendak diri sendiri, seolah-olah bertudung itu bukan perkara yang wajib. Ia didakwa seolah-olah seperti menyatakan seseorang itu boleh memilih apa yang hendak diterima dan apa yang hendak dibuang dalam agama.
  4. Filem ini juga menonjolkan wanita Islam yang bersuami boleh keluar dengan lelaki bukan muhrim dan suami wanita Islam tersebut seperti tidak ambil kisah. Dalam budaya Melayu, perkara tersebut dianggap dayus.

Doa Pelik Yang Panjang

Paling menganggu fikiran saya adegan sembahyang berbagai agama di akhir filem. Babak itu digambarkan seolah-olah bersambung seperti satu doa yang panjang. Saya terasa bagai sedang didakyahkan oleh seorang pendokong pluralisme agama. Bagai sedang disogokkan dakyah bahawa semua agama adalah sama, semuanya menuju kebenaran.

Fahaman pluralisme agama menganggap semua agama adalah benar, penganut agama apa pun adalah Muslim dan semuanya kan masuk syurga. Yang berbeza hanya nama agama, jalan berbeza tetapi semuanya menuju matlamat yang satu. Ini cuba digambarkan di akhir filem ini melalui petikan kata Maulana Jalaluddin al-Rumi “The Lamps may be different but the light is the same”.

Keyakinan Tauhid

Kefahaman sebegini adalah bertentangan dengan Konsep Syahadah yang kita ulangi setiap hari menyeru kita berpegang kepada tauhid Rububiyyah juga tauhid Uluhiyyah yang menafikan Tuhan-Tuhan lain. Mengesakan Allah bermakna menolak tuhan-tuhan yang lain. Secara prinsipnya, kita boleh menerima TOLERANSI AGAMA, malah ianya memang dituntut Islam, agar kita saling hormat-menghormati rakan-rakan kita yang berlainan agama. TETAPI kita harus tahu membezakan antara toleransi agama dan pluralisme agama.

Kalaulah ini wajah filem Melayu Muslim, saya rasa sangat sedih dan kecewa. Filem ini mungkin menang anugerah filem terbaik, tapi saya rasa seperti seorang yang tewas. Bagai menang sorak kampung tergadai. Rasa hancur luluh jiwa, berat rasa beban tidak upaya bertongkat lagi (Jiwa Rasa, 2006).

  Nota :

 “Katakanlah: “Hai orang-orang yang kafir, aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah. Untukmulah agamamu, dan untukkulah, agamaku“.

(Al-Quran surah Al-Kafirun (109):1-6)

Saksikanlah klip video ini dan FIKIRlah tentang INTIPATInya…….

 

Vodpod videos no longer available.

1 thoughts on “ADA APA DENGAN GUBRA?

Tinggalkan komen