FAKTA YANG PERLU DIKETAHUI TENTANG LARANGAN PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH DI DALAM BIBLE. BAGAIMANA ISU INI BERMULA?

Pendahuluan

Isu tuntutan penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian di negara ini seharusnya ditangani dengan bijak. Perbincangan ilmiah dengan memahami maksud tersurat dan tersirat terhadap tuntutan ini harus diselami oleh semua pihak. Kalimah ALLAH merupakan KALIMAH SUCI yang melambangkan Islam itu sendiri. Umat Islam semestinya mempertahankan penggunaan kalimah ini agar tidak tersasar dari maksud sebenar. Ia adalah menjadi KEWAJIPAN bagi umat Islam dalam mempertahankan kesucian Islam itu sendiri.

Terjemahan kata ganti nama God atau Lord di dalam Bible cuba digantikan kepada nama Allah dalam versi bahasa Melayu

Terjemahan kata ganti nama God atau Lord di dalam Bible cuba digantikan kepada nama “Allah” dalam Alkitab versi bahasa Melayu

Ini kerana sehingga kini, penganut Kristian bermati-matian menuntut agar kalimah ini dibenarkan untuk diguna pakai di dalam terjemahan Bible versi Bahasa Melayu (ALKITAB). Apa sebenarnya MOTIF puak Kristian untuk menggunakan kalimah Allah di setiap gereja? Adakah mereka membuatnya saja-saja? Atau hendak melihat sejauh mana KEPEKAAN atau SENSITIVITI orang Melayu yang beriman di bawah naungan Islam.

Kronologi Tuntutan Kalimah “Allah”

Punca perdebatan kalimah "Allah" bermula semasa permohonan memperbaharui permit akhbar Herald – The Catholic Weekly kepada Kerajaan

Perdebatan kalimah “Allah” dipercayai bermula semasa permohonan memperbaharui permit oleh akhbar Herald – The Catholic Weekly kepada Kerajaan untuk cetakan akhbar versi bahasa Melayu

Secara umumnya kronologi tuntutan terhadap kalimah “Allah” terbahagi kepada tiga peringkat. Ia bermula apabila akhbar Herald – The Catholic Weekly mengemukakan permohonan membaharui permit penerbitan akhbarnya kepada Kerajaan. Kelulusan telah diberikan kepada akhbar ini dengan menyatakan bahawa larangan penggunaan kalimah “ALLAH” dalam menggantikan kata nama “GOD” atau “LORD” untuk versi bahasa Melayu. Ekoran timbul rasa ketidakpuasan hati maka tindakan semakan kehakiman telah difailkan oleh Gereja Katolik. Peristiwa ini bolehlah dirangkumkan seperti berikut :

Sebelum Semakan Kehakiman

  • Pada 31 Disember 2007, Pengarang akhbar Herald – The Catholic Weekly, Paderi Lawrence Andrew menyatakan bahawa pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memperbaharui permit penerbitan akhbar itu tanpa larangan menggunakan kalimah “Allah”. Bagaimanapun kerajaan menegaskan bahawa larangan penggunaan kalimah “Allah” masih kekal.
  • Pada 3 Januari 2008, Kabinet mengekalkan larangan bagi semua agama kecuali Islam daripada menggunakan kalimah “Allah” dalam penerbitan akhbar masing-masing. Sebelum ini Kabinet telah memutuskan keputusan yang sama dalam Mesyuarat Kabinet pada 18 Oktober dan 1  November 2006.
  • Pada 19 Mac 2008, Gereja Katolik telah memohon di Mahkamah Tinggi untuk melakukan semakan kehakiman terhadap larangan penggunaan kalimah “Allah”.
  • Pada 5 Mei 2008, Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) telah membuat keputusan membenarkan permohonan Gereja Katolik untuk membuat semakan kehakiman (undang-undang) terhadap larangan menggunakan kalimah “Allah” dalam penerbitan mingguan Herald-The Catholic Weekly.
  • Pada 7 Januari 2009, Kementerian Dalam Negeri meluluskan permit penerbitan Herald bagi  tempoh 1 Jan sehingga 31 Dis 2009, dengan syarat kalimah “Allah” tidak  digunakan di dalamnya dan perkataan “Terhad” mesti dicetak pada muka depan  majalah mingguan itu yang hanya boleh diedarkan kepada penganut Kristian serta di gereja sahaja.
  • Pada 16 Feb 2009, Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam memfailkan semakan kehakiman berhubung penggunaan perkataan “Allah” dalam penerbitan gereja, dengan menamakan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden.
Masihkah kita ingat Paderi Lawrence Andrew yang menfailkan Semakan Kehakiman terhadap larangan penggunaan kalimah "Allah"?

Masihkah kita ingat Paderi Lawrence Andrew yang menfailkan Semakan Kehakiman terhadap larangan penggunaan kalimah “Allah”?

Semasa Semakan Kehakiman

  • Pada 31 Disember 2009, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang dihakimi oleh Hakim Datuk Lau Bee Lan telah membuat keputusan dengan membenarkan penerbitan majalah Herald – The Chatolic Weekly bagi menggunakan kalimah Allah.
  • Secara faktanya keputusan Penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Disember 2009 itu  adalah bertentangan dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan  Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang kali ke-82 pada 5 hingga 7 Mei 2008 yang telah menyatakan bahawa lafaz atau kalimah “Allah” adalah kalimah suci KHUSUS bagi agama serta umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama bukan Islam lain.
  • Larangan ini juga selari dengan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan Di Kalangan Orang  Islam) yang digubal berdasarkan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kalimah “Allah” hanya boleh digunakan bagi umat Islam.

Selepas Semakan Kehakiman

  • Pada 5 Januari 2010, Kementerian Dalam Negeri memfailkan permohonan untuk penangguhan perintah mahkamah sebelum ini selepas mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan sehari sebelum itu. Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail menyatakan bahawa proses segera itu tidak sepatutnya disalahtafsirkan kerana isu itu perlu diselesaikan secepat mungkin.
  • Pada 6 Januari 2010, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penangguhan perintah yang dikeluarkan sebelum ini bagi membenarkan penggunaan kalimah “Allah” oleh majalah mingguan Katolik, Herald, berikutan persetujuan Kementerian Dalam Negeri dan Ketua Paderi Roman Katolik Malaysia berdasarkan kepada kepentingan negara.
  • Bermula 6 Januari 2010 hingga kini, isu ini masih ditangguhkan oleh kedua-dua belah pihak yang berkepentingan.
Abdul Gani Patail, Lau Bee Lan,  Murphy Pakiam dan Lawrence Andrew merupakan watak utama di dalam isu kalimah "Allah"

Abdul Gani Patail, Lau Bee Lan, Murphy Pakiam dan Lawrence Andrew merupakan watak utama di dalam pertikaian isu kalimah “Allah”

Kronologi Polemik Penggunaan Kalimah Allah Masa Kini

Perdebatan berkaitan penggunaan kalimah “Allah” mula berputik kembali apabila ianya dibangkitkan oleh Lim Guan Eng secara PROVOKASI kepada umat Islam tanpa menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menangguhkan isu ini demi kepentingan dan keharmonian negara. Sekiranya diapi-apikan secara AGRESIF nescaya isu ini akan menjadi sebab-musabab kepada timbulnya bibit-bibit perpecahan dan perbalahan di kalangan orang Islam khususnya dan masyarakat majmuk umumnya. Hal ini berlaku tidak lebih bertujuan untuk mendapatkan UNDI SIMPATI daripada pihak-pihak tertentu di dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang bakal menjelma nanti. Perbalahan dan perdebatan ini dapat dilihat seperti rentetan berikut :

Perutusan Sambutan Hari Natal oleh Lim Guan Eng adalah pencetus kepada polimik kalimah "Allah" secara nyata

Perutusan Sambutan Hari Natal oleh Lim Guan Eng yang meminta dibenarkan penggunaan kalimah “Allah” secara terbuka adalah PENCETUS kepada POLIMIK semasa di kalangan masyarakat

Pelbagai reaksi dan komen telah diutarakan oleh wakil agama dan politik membantah permintaan Lim Guan Eng

Pelbagai reaksi dan komen telah diutarakan oleh wakil agama dan ahli politik dalam membantah permintaan Lim Guan Eng

Mufti-Mufti mendesak agar semua pihak AKUR menyatakan bahawa kalimah “Allah” adalah KHUSUS untuk agama Islam

Mufti-Mufti pelbagai negeri mendesak agar semua pihak AKUR terhadap Fatwa yang menyatakan bahawa kalimah “Allah” adalah KHUSUS untuk agama Islam

  • Pada 24 Disember 2012, Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menggesa Kerajaan MEMBENARKAN masyarakat bukan Islam menggunakan kalimah “Allah” di dalam Bible versi bahasa Melayu melalui Perutusan Sempena Sambutan Hari Natal.
  • Pada 28 Disember 2012, Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib menegaskan penggunaan kalimah “Allah” KHUSUS untuk orang Islam dan seluruh umatnya sahaja. Agama lain termasuk Kristian TIDAK BERHAK sama sekali untuk menggunakan kalimah suci itu apatah lagi untuk diguna pakai di dalam Bible versi bahasa Melayu.
  • Pada 4 Januari 2013, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menegaskan parti itu kekal dengan keputusan MENYOKONG penggunaan kalimah “Allah” untuk penganut bukan Islam seperti yang diputuskan oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada tahun 2010.
  • Pada 8 Januari 2013, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan rasa terkejut dan KESAL dengan kenyataan Lim Guan Eng yang meminta Kerajaan membenarkan kalimah “Allah” digunakan di dalam Bible versi bahasa Melayu.
  • Pada 8 Januari 2013, Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) memutuskan kalimah “Allah” BOLEH DIGUNAKAN oleh penganut semua agama DENGAN SYARAT tidak disalahgunakan selepas satu mesyuarat yang dihadiri oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
  • Pada 11 Januari 2013, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi mendedahkan seorang Paderi dari Indonesia, Jahja Iskandar mengakui bahawa kalimah “Allah” adalah KHAS untuk umat Islam seperti yang diperakui di dalam buku tulisan beliau yang bertajuk; “Mengapa Nama Yahweh Semakin Popular.”
  • Pada 13 Januari 2013, susulan daripada desakan pelbagai pihak termasuk Mufti-Mufti pelbagai negeri (Selangor, Kelantan, Pulau Pinang, Kedah, Johor, Perak dan Pahang)  PAS akhirnya AKUR menyatakan bahawa kalimah “Allah” adalah KHUSUS untuk agama Islam dan TIDAK BOLEH DIGUNAKAN oleh agama lain selepas Mesyuarat Majlis Syura Ulama yang dipengerusikan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kesimpulan

Kita hendaklah beriman dan mengakui bahawa terdapat dua kalimah yang amat SENSITIF dari sudut agama Islam yang perlu dipertahankan. Pertamanya, kalimah Dua Syahadah tentang ikhtikad keimanan kita terhadap kewujudan Allah S.W.T. Keduanya, kalimah “Allah” yang WAJIB dihayati sebagai kata nama gantian kepada Rubbul’ alamin. Sewajarnya bagi umat Islam, nama “Allah” merupakan nama yang KHUSUS yang mesti  dipelihara kesuciannya. Ia tidak boleh dibuang merata tempat atau digunakan nama tersebut pada tempat yang tidak layak baginya seperti menyamakan dengan makhluk, bersifat dengan sifat makhluk, seperti menganggap ia ada anak, isteri, makan, tidur dan berjalan sebagaimana makhluk.

Jangan kita biarkan kalimah "Allah" dipermainkan atau diperolok-olok oleh mereka yang TIDAK LAYAK dan beriman kepadaNya menggunakannya. ALLAH

Jangan kita biarkan kalimah “Allah” dipermainkan atau diperolok-olok oleh mereka yang TIDAK BERIMAN dan MENYAKINI segala perintah dan laranganNya

Sehubungan itu, permintaan untuk menggunakan nama “Allah” dalam terjemahan Bible versi bahasa Melayu adalah TIDAK WAJAR sama sekali, bahkan jika dilihat di kalangan masyarakat Barat pun mereka tidak menggunakan nama “ALLAH” bagi merujuk kepada God atau Lord samada dalam pertuturan, penulisan atau filem. Wa’allahu’alam……. Sebarkanlah risalah ini demi agama tercinta.

Sumber :

http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121228/dn_03/Hentikan-polemik-mahu-guna-kalimah-Allah
http://www.sinarharian.com.my/nasional/kalimah-allah-sultan-selangor-kesal-permintaan-guan-eng-1.119178
http://www.sinarharian.com.my/nasional/kalimah-allah-hormati-keputusan-majlis-fatwa-1.115437
http://www.sinarharian.com.my/nasional/dap-mahu-pusat-benar-guna-kalimah-allah-1.115162
http://www.sinarharian.com.my/nasional/kalimah-allah-tuntutan-terus-dicemuh-1.115481

AWAS! ANCAMAN FAHAMAN-FAHAMAN ASING TERHADAP AQIDAH AHLI SUNNAH WAL JAMA’AH (ASWJ) DI NUSANTARA

Pendahuluan

Sumber rujukanAhli Sunnah Wal Jama'ah berteraskan al-Quran dan al-Hadith sebagai garis panduan

Sumber rujukan utama Ahli Sunnah Wal Jama’ah berteraskan al-Quran dan al-Hadith sebagai garis panduan

Dewasa kini seringkali kita mendengar banyak golongan yang asyik melabelkan diri mereka sebagai Ahli Sunnah Wal Jama‘ah (ASWJ). Akan tetapi adakah dengan hanya mengaku sedemikian sahaja tanpa bukti yang kukuh harus bagi kita pula menamakan mereka sebagai ASWJ? Adakah dalam perkara-perkara hukum; mereka mengikut imam-imam mujtahid yang menjadi ikutan umat Islam seperti di Nusantara mereka mengikut Imam Syafie, di Pakistan dan India mereka mengikut Imam Hanafi, di Afrika Utara dan Andalusia zaman dulu mereka mengikut Imam Maliki dan mereka yang berada di Semenanjung Arab mengikut Imam Hambali.

Susulan daripada kejayaan ulama al-Asy’ariyyah dan al-Maturidiyyah menyusun secara sistematik dan menjelaskan kepentingan akidah kepada umat Islam maka ASWJ adalah fahaman aqidah yang diyakini oleh ratusan juta umat Islam dan telah diijma`kan oleh para pemuka Mazhab Syafie, Maliki, Hanafi serta pendokong utama Mazhab Hambali. Senario ini telah menyebabkan berlakunya ancaman dan penentangan terhadap ASWJ dari pelbagai sudut termasuk wujudnya ajaran-ajaran songsang, aliran-aliran baru yang menyimpang, keganasan yang terkeluar dari erti jihad, isu murtad dan sebagainya.

Taburan kawasan yang mewakili empat mazhab terpenting di dalam Ahli Sunnah Wal Jama'ah

Taburan kawasan yang mewakili pengikut kepada empat mazhab terpenting di dalam Ahli Sunnah Wal Jama’ah

Analoginya, golongan yang meng-izhar-kan mereka bukan Islam seperti Yahudi dan Kristian mahupun golongan yang mendakwa sebagai Islam seperti puak Syi‘ah, Wahhabiyyah, Hizb al-Tahrir, Ikhwanjiyyah (Khawarij), Islam Liberal, Sisters In Islam dan banyak lagi. Ini merupakan ujian Allah S.W.T. terhadap mereka yang berpegang dengan aqidah Ahli Sunnah Wal Jama‘ah di zaman kini supaya memperjuangkan sunnah (aqidah dan syari‘at) bagi mendapat ganjaran syahid dalam peperangan. Ini berdasarkan dari hadith Nabi yang diriwayatkan oleh Imam Bayhaqiyy yang bermaksud:

“Barangsiapa yang menghidupkan sunnahku (aqidah dan syari‘atku) ketika rosaknya umatku, maka baginya pahala syahid.”

Definisi Ahli Sunnah Wal Jama’ah

Istilah atau kalimah Ahli Sunnah Wal Jama’ah (ASWJ) sememangnya sudah tidak asing lagi kepada masyarakat Islam Nusantara.  Namun, apabila membincangkan perihal ASWJ terlalu sedikit yang mengetahui pengertian kalimah ini.  Oleh itu, perlulah terlebih dahulu difahami pengertiannya (istilah atau definisinya) sama  ada di segi bahasa atau syara.  Istilah “Ahli Sunnah Wal Jama’ah”  merupakan suatu istilah yang tersusun daripada rangkaian tiga suku kata Bahasa Arab. Ketiga-tiga suku kata ini mempunyai maksud yang tersendiri. Ia akan melahirkan satu rangkaian makna yang tertentu ataupun khusus apabila ia dilihat dari sudut permaknaan istilah.

  • Perkataan Ahl

Jika dilihat dari sudut literal, ianya bererti ahli keluarga, pengikut atau golongan. Manakala dari sudut terminologi, ia bermaksud mereka yang mengikut atau berpegang dengan sesuatu (kalimah) yang disandarkan kepada perkataan Ahl tersebut seperti ahl al-Madhhab di mana ia merujuk kepada mereka yang berpegang dengan mazhab tersebut.

  • Perkataan al-Sunnah

Di dalam al-Quran, perkataan al-Sunnah dan jamaknya Sunan digunakan sebanyak 16 kali. Perkataan al-Sunnah pula jika dilihat dari sudut literal ia bermaksud al-Sirah. Manakala dari sudut terminologi, al-Sunnah memberi pengertian sesuatu yang disandarkan kepada Rasulullah S.A.W., sama ada yang terdiri daripada kata-katanya, perbuatan, pengakuan, sifatnyadan sejarah hidupnya, sama ada sebelum kenabian mahupun selepas kenabian. Ia juga bermaksud jalan yang ditempuh oleh Nabi S.A.W. dan para sahabatnya yang selamat daripada syubhat dan hawa nafsu. Di sisi para fuqaha‟, perkataan al-Sunnah bermaksud perkara yang pasti datangnya daripada Nabi S.A.W. yang terdiri daripada perbuatannya dan percakapannya.

  • Perkataan al-Jama’ah

Menurut Ilmu al-Istiqaq dalam bidang bahasa, perkataan al-Jama’ah ini berasal daripada perkataan al-Ijtima’ yang bermaksud perhimpunan atau perkumpulan. Antonim bagi kata al-Jama’ah adalah al-Firaq yang bermaksud perpecahan. Jika diteliti dari sudut etimologi, ia merujuk kepada satu himpunan ataupun kumpulan manusia dan kumpulan tersebut mengandungi jumlah yang besar. Manakala dari sudut terminologi, ungkapan al-Jama’ah di sisi Ulama Usuluddin adalah merujuk kepada mereka yang mengikuti majoriti umat Islam di mana ia terdiri daripada mereka yang mengikuti jalan yang telah dilalui oleh Nabi Muhammad S.A.W. dan para sahabat baginda.

  • Perkataan Ahli Sunnah Wal Jama’ah

Ketiga-tiga suku kata tersebut telah digabungkan menjadi satu istilah oleh dua orang ulama yang mahir dan pakar dalam bidang Usuluddin iaitu al-Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari (260 – 330H) dan al-Imam Abu al-Mansur al-Maturidi (238 – 333H). Ia dinamakan Ahli Sunnah Wal Jama’ah yang dirujuk kepada mereka yang telah berada di atas manhaj (jalan/ method) yang diperkenalkan oleh golongan al-Asya`irah dan al-Maturidiyyah dari sudut aqidah. Hal ini adalah suatu yang masyhur dalam kalangan majoriti para ulama ketika mengidentifikasikan golongan yang dinamakan sebagai Ahli Sunnah Wal Jama’ah (ASWJ). Oleh kerana jasa mereka begitu besar terhadap umat Islam pada zaman mereka dan pada zaman selepasnya, maka penyebutan Ahli Sunnah Wal Jama’ah sering dikaitkan dengan kedua-dua ulama ini.

Aliran-Aliran Fahaman Yang Bercanggah

Di akhir-akhir ini Islam menurut ajaran dan amalan Ahli Sunnah tercabar dengan berkembangnya aliran-aliran fahaman yang bercanggah dengannya. Penyerapan aliran-aliran fahaman asing ke dalam masyarakat Islam di Nusantara ini sudah lama melanda dan penularannya berlaku secara halus sehingga tidak disedari oleh umat Islam. Sama ada sedar atau tidak, pemikiran masyarakat Islam masa kini telah berubah kepada pemikiran asing dan kalau tidak dibenteras melalui pelbagai kaedah ianya boleh menjejaskan akidah umat Islam itu sendiri. Di antara fahaman-fahaman dan aliran berfikir itu ialah seperti berikut :

Fahaman Syi'ah didapati bertentangan dengan aliran Ahli Sunnah Wal Jama'ah dari aspek aqidah dan tauhid

Fahaman Syi’ah didapati bertentangan dengan aliran Ahli Sunnah Wal Jama’ah dari aspek aqidah dan tauhid

Aliran Syi’ah – Antara ajaran-ajarannya :

  1. Fahaman mereka yang menganggap imam-imam Syi’ah yang maksum tidak berdosa langsung.
  2. Mengeluarkan fatwa bahawa para sahabat Nabi S.A.W. menjadi murtad habis selepas wafat baginda, melainkan yang tinggal hanya 3 orang atau 7 orang sahaja, yang lain habis kafir murtad.
  3. Mereka ada al-Qur’an Mushaf Fatimah katanya, mereka beramal dengan taqiyyah atau kepura-puraan (dissimulation), mereka mengamalkan kahwin mut’ah, sehingga dengan isteri orang pun boleh berkahwin mut’ah seperti kata Iman Khomeini dalam kitabnya Tahrir al-Wasilah jilid 2.
  4. Mereka percaya kepada raj’ah, yakni sebelum kiamat berlaku, manusia akan hidup semula dan imam Mahdi Syi’ah bernama Muhammad bin Hasan al-Askari akan menghukum mereka yang tidak mengambil Ali sebagai imam. Bila semua telah dihukum baharulah semuanya mati semula dan lepas itu baru berdiri kiamat.
Sebaik-baik menuntut ilmu biarlah dengan berguru kepada alim ulama. Bukan berguru dengan buku tanpa kehadiran mereka

Sebaik-baik menuntut ilmu biarlah dengan berguru kepada alim ulama. Bukan berguru dengan buku tanpa kehadiran mereka

Aliran tidak pakai mazhab – Antara ajaran-ajarannya :

  1. Mengajar pengikutnya berdasarkan kepada mazhab bidaah, nabi tidak buat, semua mesti mengikut al-Quran dan al-Hadith, lagi pula sekarang sudah senang kerana al-Quran dan al-Hadith ada terjemahan; kita boleh buat keputusan sendiri tak perlu ikut siapa-siapa.
  2. Kita hanya wajib ikut Rasulullah S.A.W.; dia maksum orang lain tidak maksum.
  3. Kalau kita mazhab mengikut boleh membawa kepada syirik dan kufur  sebab ibaratnya seperti ‘beribadat’ kepada mereka (ibadadatul-ahbar wa’r-rahban) yakni seperti menyembah orang alim atau orang soleh.
Aliran fahaman Wahhabi merobohkan segala bentuk binaan yang berkaitan dengan Rasulullah S.A.W dan para sahabat di sekitar Kota Mekah

Aliran fahaman Wahhabiah merobohkan segala bentuk binaan yang berkaitan dengan Rasulullah S.A.W dan para sahabat di sekitar Kota Mekah

Aliran Wahhabiah – Antara ajaran-ajarannya :

  1. Mengajar pengikutnya agar jangan mengikut mazhab, ikut sahaja pengarang seperti Nasir al-Bani, Abu Aminah Bilal Philips, Abdul Aziz bin Baz, Uthaimin dan yang sealiran dengan mereka.
  2. Bacaan Doa Qunut adalah bidaah, demikian pula bidaah membaca Surah Ya’sin malam Jumaat, membuat tahlil arwah, mengadakan majlis maulid, membaca talkin bila orang mati, membuat tahlil arwah, membaca wirid ramai-ramai selepas sembahyang, kemudian mengaminkan doa imam beramai-ramai, mengaji tasawwuf adalah bidaah dan sesat, demikian seterusnya. Dan bila orang membuat bidaah-bidaah seperti ini mereka masuk neraka.
  3. Dulu dipanggil kaum muda sekarang dipanggil Salafi.
  4. Kebiasaannya, di mana tempat ada fahaman ini, di situlah kerap berlakunya perkelahian bahkan tumbuk menumbuk. Jika hilang pertimbangania boleh menyebabkan berlakunya bunuh membunuh.
Umat Islam di Indonesia telah menjalankan protes umum ke atas Jaringan Islam Liberal (JIL) yang mengucar-kacirkan keharmonian masyarakat

Umat Islam di Indonesia telah menjalankan protes umum ke atas Jaringan Islam Liberal (JIL) yang mengucar-kacirkan keharmonian masyarakat

Aliran Islam Liberal – Antara ajaran-ajarannya :

  1. Fahaman ini mengajarkan pengikutnya bahawa tidak ada hukum Allah S.W.T, tetapi yang ada ialah budaya semata-mata.
  2. Kita tidak wajib mengikut Fiqh klasik sebab itu adalah pemikiran manusia zaman dulu (ketinggalan zaman).
  3. Semua agama membawa kebenaran, tiada yang melebihi di antaranya.
  4. Wahyu tidak putus, wahyu masih ada, orang yang menulis dalam surat khabar pun mendapat wahyu, wahyu dalam erti kata fikiran. Hanya yang tidak ada hanyalah wahyu verbal, yang ada pada orang menulis pada surat khabar adalah wahyu ‘non-verbal’.
  5. Orang Islam boleh berkahwin dengan orang yang beragama lain; itu disebut perkahwinan lintas agama (Inter-faith marriage).
  6. Salah satu daripada pendokong aliran ini ialah Jaringan Liberal Islam (JIL). Jika dilihat di dalam isi kandungan laman web JIL akan didapati banyak maklumat-maklumat pelik yang membawa kepada kekufuran.
Sekularisme perlu ditentang dari terus bertapak diterapkan di dalam pentadbiran  dan cara hidup masyarakat merebak masyarakat

Konsep pemisahan agama dalam kehidupan seharian yang diterapkan oleh aliran Sekularisme perlu ditentang. Ia adalah bersalahan dengan tuntutan Islam yang menyarankan umatnya menjadikan Islam sebagai cara hidup

Aliran Sekularisme – Antara ajaran-ajarannya :

Aliran ini mengutarakan kaedah cara berfikir dan bertindak dalam mengendalikan urusan kehidupan di dunia secara terpisah daripada agama, ia tidak ada hubungan dengan Allah S.W.T. atau tidak ada hubungkait dengan akhirat di semua ruang awam tanpa terkecuali (Lihat takrif sekularisme oleh George Holyoake).

Fahaman ini lebih kepada keupayaan

Konsep semua agama adalah sama merupakan satu doktrin songsang yang cuba disemai oleh aktivis pluralisme agama terhadap umat Islam agar terpesong aqidah

Aliran Pluralisme Agama – Antara ajaran-ajarannya :

  1. Aliran ini mengatakan bahawa semua agama adalah sama, sama benar, semuanya membawa kepada syurga.
  2. Orang Islam tidak boleh mengakuinya kerana hanya agama Islam sahaja wajib diyakini mempunyai kebenaran berbanding agama lain.
  3. Kalau demikian apa gunanya Nabi Muhammad S.A.W datang dan membuat pembetulan atas agama Kristian dan Yahudi di zamannya?
  4. Apa ertinya tokoh-tokoh seperti al-Ghazali membela kebenaran Islam berdepan dengan ajaran-ajaran yang tidak benar?
  5. Apa ertinya Solah a-Din al-Ayyubi berjihad semasa berlakunya Perang Salib kalau semuanya benar membawa ke syurga?

Kesimpulan

Kita mesti kekal dalam agama Islam mengikut Ahli Sunnah Wal Jama’ah sebab ia sahaja yang menjamin kebahagiaan di dunia dan di akhirat; itulah yang menjadi tonggak ulil-amri negara ini bermula daripada Agung sampai kepada rakyat jelata. Sedarlah wahai umat Islam bahawa ancaman fahaman-fahaman asing ternyata boleh merosakkan aqidah dengan dampak yang lebih besar. Ini kerana fahaman asing seperti syi’ah, wahhabiah, sekularisme, liberalisme, pluralisme dan sealirannya merupakan senjata ampuh yang digunapakai oleh puak kuffar Barat dalam menggelincirkan aqidah umat Islam tanpa disedari oleh umat Islam itu sendiri. Oleh itu, bersihkan dan sucikanlah diri kita, masyarakat di sekeliling kita dan para pemerintah kita dari segala bahaya penyesatan aqidah dari terjerumus kepada fahaman-fahaman asing yang jauh lebih berbahaya dari kristianisasi.

Sumber :

http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/apakah-pengertian-ahli-al-sunnah-wal-jamaah-0

AWAS! JANGAN MENGIKUT JEJAK AMALAN SYI’AH KETIKA MENYAMBUT HARI ASYURA (10 MUHARRAM)

Pendahuluan

Tanggal 24 November 2012 merupakan tika dan saat yang dinantikan oleh banyak golongan yang berkepentingan. Ini kerana tarikh tersebut merupakan hari yang mulia yang dikenali sebagai HARI ASYURA yang ditetapkan pada 10 Muharram setiap tahun. Sebagai seorang muslim kita dianjurkan untuk menggunakan kesempatan yang mulia ini untuk melakukan amalan-amalan yang sesuai dengan tuntutan sunnah Rasulullah S.A.W. Pada hari tersebut kita disarankan untuk sentiasa berusaha dan berwaspada agar amalan-amalan yang dilaksanakan tidak TERPESONG dari ajaran Islam. Ini disebabkan terdapat beberapa amalan yang dilakukan oleh umat Islam dikategorikan sebagai BI’DAH (amalan yang ditolak) yang kita sangkakan BAIK, sebenarnya adalah BURUK dari sudut hukum syarak. Senario ini boleh diibaratkan;

“ku sangkakan ia manis seperti MADU, rupa-rupanya ia adalah RACUN yang membinasakan aqidah kita”.

Marilah kita mengerjakan puasa sunat pada Hari Asyura bersempena 10 Muhharam

Definisi Hari Asyura

Hari Asyura merupakan salah satu hari yang diraikan oleh umat Islam. Asyura berasal daripada perkataan Arab asyara yang bermaksud sepuluh. Manakala Asyura (عاشوراء) ialah hari yang kesepuluh dalam bulan Muharram (المحرم ) di dalam kalender Islam. Mengikut masyarakat Islam, hari Asyura telah menyaksikan banyak sejarah besar dan keajaiban berlaku ke atas para nabi. Disebabkan itu, masyarakat Islam menghormati hari tersebut seperti juga yang diamalkan oleh Nabi Muhammad S.A.W.

Sejarah Hari Asyura

Pada masa zaman sebelum Islam, ‘Asyura’ diperingati sebagai hari raya rasmi bangsa Arab. Pada masa itu mereka berpuasa dan bersyukur menyambut ‘Asyura’. Mereka merayakan hari itu dengan penuh kegembiraan sebagaimana hari Nawruz yang dijadikan hari raya di negara Iran.  Dalam sejarah Arab, hari Asyura (10 Muharram) adalah hari raya bersejarah. Pada hari itu setiap suku mengadakan perayaan dengan mengenakan pakaian baru dan menghias kota-kota mereka. Sekelompok bangsa Arab, yang dikenal sebagai kelompok Yazidi, merayakan hari raya tersebut sebagai hari kegembiraan setelah kejayaan membunuh pemberontak kerajaan bani Umaiyyah yang diketuai cucu Rasulullah S.A.W. iaitu Husain bin Ali dan para sahabat yang derhaka pada pemerintahan.

Yom Kippur merupakan hari yang paling suci dalam agama Yahudi yang disebut sebagai Hari Penebusan Dosa. Kitab Taurat menyeru kaum Yahudi melakukan puasa pada hari itu supaya mereka mengakui dosa-dosa mereka dan menunjukkan rasa rendah diri di hadapan Tuhan mereka. Hanya dengan puasa dan taubat, mereka akan dapat memperoleh keredhaan Tuhan.

Menurut tradisi masyarakat Islam, Rasullulah S.A.W. melakukan puasa Asyura sejak di Makkah lagi memandangkan puasa Asyura merupakan amalan biasa masyarakat tempatan. Apabila baginda berhijrah ke Madinah, baginda turut mendapati yang kaum Yahudi turut berpuasa pada hari Asyura (atau bagi mereka adalah Yom Kippur yang juga pada hari kesepuluh). Ketika itu, baginda mengesahkan dan mensyariatkan puasa sehingga ia menjadi satu kewajiban kerana baginda merasakan masyarakat Islam lebih dekat dengan Nabi Musa A.S. Ibn Hajar al-asqalani, dalam pernyataannya terhadap Sahih Bukhari mengatakan yang syariat puasa diWAJIBkan ke atas umat Islam pada bulan Ramadhan setahun kemudian. Oleh itu, HUKUM melakukan puasa pada 10 Muharram telah ditetapkan sebagai amalan SUNAT dan bukan WAJIB kepada umat Islam.

Perihal turunnya perintah ini telah diterangkan oleh Syaidatuna A’isyah R.A; “Hari ‘Asyura adalah satu hari yang orang-orang Quraish berpuasa padanya ketika Jahiliyyah. Dan Rasulullah S.A.W juga berpuasa pada hari tersebut. Ketika sampai di Madinah, Nabi S.A.W berpuasa pada hari ‘Asyura dan baginda menyuruh umat Islam berpuasa pada hari tersebut. Namun apabila difardhukan puasa Ramadhan, baginda bersabda mafhumnya:

Sesiapa yang hendak, maka berpuasalah ia (pada hari ‘Asyura), dan sesiapa yang tidak mahu tinggallah ia (puasa ‘Asyura)”

Sumber : Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim

Nabi S.A.W. telah menganjurkan umatnya berpuasa pada hari kesembilan (dalam bulan Muharram) bersama dengan puasa pada hari kesepuluh (dalam bulan Muharram), supaya dapat dibezakan antara puasa Umat Islam dengan puasa Ahli Kitab

Persepsi Hari Asyura Mengikut Perspektif Syiah

Tarikh keramat 10 Muharram 61 Hijrah atau tanggal 10 Oktober 680 Masehi merupakan Hari Pertempuran Karbala yang terjadi di Karbala, Iraq. Pertempuran ini terjadi di antara pasukan Bani Hasyim yang dipimpin oleh Husain bin Ali bersama pengikutnya sebanyak 70 orang melawan pasukan Bani Umayyah yang dipimpin oleh Ibnu Ziyad, atas perintah Yazid bin Muawiyah iaitu Khalifah Umayyah pada saat itu bersama hampir 10 ribu bala tentera. Di dalam pertempuran tersebut, hampir semua ahli kumpulan termasuk Husain bin Ali gugur syahid kecuali pihak perempuan, serta anak Husain yang sakit bernama Ali bin Husain. Kepala cucu Rasulullah S.A.W telah dipenggal dan diarak seluruh kota Damaskus agar memberi peringatan pada penduduk agar tidak memberontak pada kerajaan. Kemudian tawanan perang dibawa oleh Ibnu Ziyad mereka untuk menghadap Khalifah di Damaskus dan kemudian dikembalikan ke Madinah dan dikenakan hukuman tahanan rumah.

Tragedi Karbala terjadi ekoran daripada penglibatan golongan Syiah Kufah yang merancang pengkhianatan untuk mendapatkan kekayaan dan kedudukan semata-mata. Mereka sanggup mengorbankan Ahlul Bait, Husain R.A demi menyempurnakan agenda jahat tanpa belas kasihan.

Pembohongan Syi’ah Terhadap Hari Asyura

Sejak dahulu golongan  Syi’ah sudah terkenal dalam membuat hadis-hadis PALSU, bahkan mereka mempunyai kepakaran dalam membuat riwayat-riwayat palsu. Mereka tidak berasa BERSALAH atau SEGAN mencatat nama-nama Ahlul Bait (Keluarga Nabi), demi kepentingan golongannya. Mereka juga sudah terbiasa mengHALALkan segala cara demi kepentingannya. Begitu juga dalam memperingati hari Asyura. Ulama Syi’ah telah MEREKAYASA hadis-hadis PALSU dengan memanipulasikan nama Ahlul Bait dalam usaha mereka untuk menguatkan cara memperingati hari tersebut.  Diantaranya sebagai berikut :

Jaminan dari Ulama Syi’ah untuk masuk ke syurga, hanya sekadar menangis ke atas kematian Sayyidina Husain R.A.

“Barang siapa menangis atau menangis-tangiskan dirinya atas kematian Husain, maka Allah akan mengampuni segala dosanya baik yang sudah dilakukkan maupun yang akan dilakukan.”

“Barang siapa menangis atau menangis-tangiskan dirinya atas kematian Husin, wajiblah (pastilah) dirinya mendapat surga.”

Sumber : “ WASAAIL ASY-SYI’AH” oleh Al Khurrul Amily ( Ulama Syi’ah )

Selain daripada riwayat-riwayat di atas, masih banyak lagi riwayat-riwayat Hadis PALSU yang mereka rekayasa. Hampir tidak kurang dari 458 riwayat, memperihalkan mengenai kewajipan menziarahi makam Imam-Imam Syi’ah. Bahkan dari jumlah tersebut 338 riwayat dikhususkan mengenai kebesaran dan keutamaan serta pahala besar bagi peziarah makam Imam Husain R.A atau ke Karbala. Sebagai contoh :

“Barang siapa ziarah ke makam Imam Husain sekali, maka pahalanya sama dengan haji sebanyak 20 kali.”

“Barang siapa ziarah ke makam Imam Husain di Karbala pada hari arafah, maka pahalanya sama dengan haji 1,000,000 kali bersama Imam Mahdi, disamping mendapatkan pahalanya memerdekakan 1000 (seribu) budak dan pahalanya bersedekah 1000 ekor kuda.”

Sumber : “ WASAAIL ASY-SYI’AH” oleh Al Khurrul Amily ( Ulama Syi’ah ).

Perilaku golongan Syi’ah yang melukakan diri sendiri sebagai tanda berdukacita pada 10 Muhharam sama seperti upacara Thaipusam. Inikah IMEJ umat Islam?

Bid’ah-Bid’ah Asyura’

Secara simboliknya tarikh 10 Muharram merupakan hari yang amat signifikan kepada golongan Syi’ah dan Jahalatu Ahlusunnah. Tarikh keramat ini bertambah nilainya apabila berlakunya tragedi pembunuhan Abu Abdillah Al-Husain bin Ali R.A pada 10 Muhharam 61 Hijrah di padang Karbala. Akibat daripada peristiwa berdarah ini, SYAITAN laknatullah telah berhasil menCIPTAkan dua keBID’AHan sekaligus.

Pertama : Bid’ah Syi’ah

Hari Asyura dijadikan oleh golongan Syi’ah sebagai hari berkabung, dukacita, dan menyiksa diri sebagai ungkapan dari kesedihan dan penyesalan. Pada setiap Asyura, mereka memperingati kematian Al-Husain dan melakukan perbuatan-perbuatan yang tercela seperti berkumpul, menangis, meratapi Al-Husain secara histeria, membentuk kelompok-kelompok untuk perarakan berkeliling di jalan-jalan dan di pasar-pasar sambil memukul badan mereka dengan rantai besi, melukai kepala dengan pedang, mengikat tangan dan sebagainya.

Sumber : At-Tasyayyu ‘Wasy-Syi’ah, Ahmad Al-Kisrawiy Asy-Syi’iy, (Hal. 141), Tahqiq Dr. Nasyir Al-Qifari

Kedua : Bid’ah Jahalatu Ahlussunnah

Sebagai persaingan kepada amalan sambutan hari Asyura yang dilakukan oleh golongan Syi’ah maka golongan Jahalatu Ahlussunnah (ahli yang jahil\Bodoh) telah menjadikan hari Asyura sebagai hari raya dan pesta.

Menurut Ahmad Al-Kisrawi Asy-Syi’iy : “Dua budaya (Bid’ah) yang sangat kontras ini, merujuk kepada kesusasteraan yang ada, ia bermula pada zaman Dinasti Buwaihi (321H – 447 H) yang mana masa itu terkenal dengan pertentangan hebat di antara Ahlussunnah dan Syi’ah.

Golongan Jahalatu (bodoh) Ahlussunnah menjadikan Asyura sebagai hari raya dan hari bahagia sementara golongan Syi’ah menjadikannya sebagai hari dukacita, mereka berkumpul membacakan syair-syair kemudian menangis dan menjerit. “

Sumber : At-Tasyayyu ‘Wasy-Syi’ah (Hal.142)

Amalan Bid’ah Yang Dilakukan Oleh Umat Islam

Syaikh Abu Bakar bin Sayid Muhammad Syatha ad-Dimyathi ketika membahas puasa sunnah Asyura (10 Muharram) dalam kitabnya bertajuk “I’anah Ath-Thalibin (2/301)” menukil keterangan para ulama tentang amalan-amalan yang dilakukan pada hari Asyura. Dia mengatakan seperti berikut ini:

Al-Ahjhuri mengatakan, “Sesungguhnya aku telah bertanya sebagian ahli hadis dan ahli fiqah tentang bercelak, memasak biji-bijian, memakai pakaian baru dan memperlihatkan rasa senang. Mereka menjawab, “Tidak ada hadis shahih dari Nabi S.A.W. tentang hal itu, tidak juga dari sahabat, dan tidak ada seorang pun dari imam yang mensunnahkannya. Begitu juga apa yang dikatakan bahawa barangsiapa yang bercelak pada hari Asyura, maka matanya tidak sakit selama tahun itu dan barangsiapa yang mandi pada hari itu, maka dia tidak sakit pada tahun itu.”

Jika membuat bubur Asyura itu kalau setakat dijadikan adat, tanpa ada kepercayaan keagamaan, ia bukanlah satu yang salah. Kalau orang Melayu suka berbuka puasa dengan bubur Asyura, buatlah bubur Asyura. Tetapi elakkan kepercayaan yang kurang sahih, seperti mengaitkannya dengan makanan Nabi Nuh a.s. sewaktu berlabuhnya bahtera baginda.

Di sini disenaraikan amalan-amalan bi’dah yang sering dilakukan oleh umat Islam acapkali datangnya 10 Muhharam tanpa memeriksa asal-usul amalan ini diamalkan. Di antaranya ialah:

  1. Puasa Sunat Asyura dengan niatnya dibaca; “Sahaja aku berpuasa esok hari sunat hari Asyura kerana Allah Taala.”
  2. Melapangkan masa\belanja anak dan isteri.
  3. Memuliakan fakir miskin.
  4. Menunjukkan jalan yang lurus\membetuli orang sesat\orang yang salah (terpesong aqidah (tauhid) dan akhlaknya).
  5. Menyapu\mengusap kepala anak yatim (menghormati dan memuliakan mereka).
  6. Bersedekah.
  7. Memotong kuku.
  8. Mandi Sunat dengan lafaz niatnya; “Sahaja aku mandi sunat hari Asyura kerana Allah Taala.”
  9. Bercelak.
  10. Membaca ; “Qulhuwallah (Surah Al-Ikhlas) hingga akhir seribu kali.
  11. Sembahyang sunat empat rakaat dengan lafaz niat; “Sahaja aku sembahyang sunat hari Asyura empat rakaat kerana Allah Taala. Pada rakaat pertama dan kedua selepas al-Fatihah di baca Qulhuwallah sebelas kali.
  12. Menjamu orang berbuka puasa.

Kesimpulan

Secara umumnya terdapat sepuluh amalan Hari Asyura yang biasa dilakukan TIDAK ADA DASAR hadis shahihnya KECUALI puasa dan memberikan kegembiraan (menyenangkan) keluarga.

“Adapun lapan amalan lainnya, disandarkan kepada hadis yang dhaif (lemah) dan adakalanya munkar-maudhu’. Namun begitu, terdapat juga di kalangan masyarakat setempat menyatakan terdapat dua belas amalan semasa meraikan Hari Asyura. Di antaranya ialah solat sunat, puasa, silaturrahim, sedekah, mandi, bercelak, mengunjungi orang alim, menziarah orang sakit, mengusap kepala anak yatim, memberikan kegembiraan kepada keluarga, memotong kuku dan membaca surat Al-Ikhlas seribu kali.”

Hasil semakan mendapati amalan SUNNAH yang dianjurkan oleh agama Islam pada Hari Asyura hanyalah puasa dan menyenangkan keluarga. Namun begitu, jika diteliti dengan lebih mendalam tentang amalan menyenangkan keluarga pada Hari Asyura pun termasuk bid’ah karena hadisnya dhaif.Ia adalah berdasarkan kepada penjelasan Iman Suyuthi di dalam kitabnya yang bertajuk Al-Amr bil-Ittiba’ (hlm. 75) seperti berikut :

“Yang sunnah pada hari ini (Asyura) hanyalah PUASA, tidak ada yang lain. Sesungguhnya telah diriwayatkan hadis dhaif tentang memberikan kegembiraan kepada keluarga. Boleh jadi sebabnya adalah sikap ekstrim dalam mengagungkannya daripada sebahagian kelompok Nawashib (orang-orang yang membenci Ali R.A) untuk membandingi kelompok Rafidhah (Syi’ah). Sesungguhnya SYAITAN ingin menyimpangkan makhluk dari jalan yang lurus, tidak peduli dari kumpulan mana dia. Maka para pengamal bid’ah WAJIB meninggalkan bid’ah-bid’ah sama sekali. “

PLURALISME AGAMA DI DALAM FILEM “MY NAME IS KHAN” MENGUNDANG KERUNTUHAN AQIDAH UMAT ISLAM

Pendahuluan

Pernahkah anda menonton filem Bollywood arahan Sutradara Karan Johar bertajuk My Name Is Khan? Filem ini merupakan salah satu daripada filem bertaraf “Box Office” yang mula ditayangkan di pawagam pada 11 Februari 2010. Pelbagai reaksi dan maklum balas telah diberikan oleh masyarakat dunia. Ada yang memuji melangit dan ada yang mengeji mencemuh plot cerita yang digarap secara komersial tanpa merujuk kepada norma-norma agama yang sebenar. Ia bolehlah dianggap sekadar penyedap rasa untuk menghiburkan penonton yang hadir ke pawagam.

Filem “My Name Is Khan” merupakan muslihat musuh Islam dalam menjajah minda dan emosi umatnya secara halus

Plot Filem

Filem “My Name is Khan” menceritakan tentang perihal perjalanan hidup seorang anak lelaki yang dilahirkan berpenyakit Autis (Asparger Sindrome). Namanya Risvan Khan (dilakonkan oleh Shah Rukh Khan) pemuda dari India yang berpindah ke Amerika mengikuti adiknya (Zakir), kemudian ia berkahwin dengan Mandira (dilakonkan oleh Kajol Devgan) walau ditentang keluarganya kerana perbezaan agama.

Peristiwa 911 menjadi titik permulaan serangan ke atas umat Islam secara terhormat dan terancang oleh musuh Islam

Tragedi pengeboman New York, World Trade Centre (WTC) pada 11 September telah merubah landskap dan politik di Amerika di mana umat Islam dilabelkan sebagai Teroris. Kebahagian mereka yang terbina dari percantuman dua agama menjadi kompleks kerana stigma teroris yang digambarkan kepada umat muslim telah memberikan kesan negatif kepada Khan. Ekoran kematian Sam (anak lelaki Mandira), perasaan benci dan marah timbul di hati Mandira.

Ia menyebabkan Mandira tidak dapat menerima kenyataan suaminya seorang Muslim. Oleh kerana tertekan dengan perlakuan Mandira yang masih skeptikal terhadapnya maka beliau memulakan pengembaraan solonya untuk bertemu Presiden Amerika. Pada pandangan beliau, pengembaraan ini merupakan misi untuk menghapuskan stigma atau persepsi liar terhadap umat Muslim sebagai TERORIS. Dan pada masa yang sama, Khan juga mengharapkan kembalinya cinta dan kasih sayang daripada Mandira dengan menyempurnakan misi untuk menyampaikan ucapanMy Name Is Khan, I am not a terrorist kepada Presiden Amerika.

Setiap orang boleh sahaja mengatakan bahawa filem ini adalah filem yang inspiratif, mengharukan, dan penuh mesej moral. Namun, di sebalik itu semua, filem ini juga membawa nilai-nilai sejagat (universal) yang merbahaya kepada aqidah umat Islam. Di dalamnya penuh sarat akan tindakan dan perhal-hal yang bertentangan dengan syariat Islam. Salah satu nilai merbahaya yang digarapkan ke dalam filem ini adalah Pluralisme Agama. Kefahaman ini amat jelas bertentangan dengan syariat Islam di mana ia menganggap bahawa SEMUA AGAMA  SAMA BENAR. Hasil semakan dan penelitian mendapati sekurang-kurangnya terdapat tiga “scene” menonjolkan nilai-nilai Pluralisme Agama secara terang-terangan dan menggelirukan umat Islam.

Scene 1 – Doktrin Keamanan Sejagat Tanpa Perbezaan Anutan Agama

Pertembungan ideologi dan agama menjadi bom jangka kepada umat Islam yang tinggal di dalam negara bukan Islam untuk dijadikan mangsa

Di dalam filem ini digambarkan Khan ketika kecil di mana kehidupannya dikelilingi oleh situasi konflik agama di antara penganut Hindu dan Muslim. Ketika Khan berada di anjung rumahnya, beliau terdengar suara protes dan amarah masyarakat Muslim sedang marah terhadap rusuhan yang berlaku dengan melaungkan kata-kata; “musnahkan dan hancurkan…..” Ungkapan kata ini diulang-ulang oleh Khan di dalam rumahnya. Tiba-tiba beliau dimarahi oleh ibunya (Razia) sambil melarangnya dari terus mengungkap kata-kata tersebut.

Adegan Khan mendengar keluhan masyarakat Islam tentang ketidakpuasan hati terhadap penganut Hindu yang datang menyerang kampung mereka

Razia menerangkan kepada Khan tentang hakikat KEBAIKAN dan KEJAHATAN sambil memberikan contoh secara melukis gambar dua karektor berbeza di mana yang satu membawa tongkat (yang kemudian disebut orang jahat) dan orang lain yang membawa lollipop (yang kemudian dianggap sebagai orang baik). Di antara petikan dialog yang diungkapkan oleh ibunya;

“Di dunia ini hanya ada dua perbezaan, iaitu KEBAIKAN dan KEJAHATAN. Baik, jika seseorang itu berbuat kebaikan, dan Jahat sekiranya seseorang itu berbuat kejahatan. Jadi tidak ada Muslim dan Hindu.

Ideologi Pluralisme Agama telah digarap secara halus oleh sutradara dengan menonjolkan nilai-nilai kemanusian sebagai mesej utama

Jika diamati dialog di atas, sudah pasti akan tergambar di fikiran kita DOKTRIN PLURALISME AGAMA yang ingin disampaikan bahawa semua agama adalah sama. Secara umumnya, semua agama di dunia pasti mengajarkan kebaikan di dalamnya. Namun begitu, pendapat ini telah disanggah oleh Allah S.W.T secara total. Malah kita diminta menyakini Islam sebagai Ad-Diin dengan menolak KONSEP tidak ada perbezaan Islam dengan agama yang lain merujuk kepada FirmanNya yang bermaksud; 

“Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah ialah ISLAM. Dan tiada bertelingkah Ahli Kitab itu, melainkan setelah datang ilmu pengetahuan kepada mereka, disebabkan berdengki-dengkian sesama mereka. Barangsiapa mengingkari ayat-ayat Allah, maka sesungguhnya Allah itu tersangat cepat mengira.”

Surah Ali-Imran ; Ayat 19

Scene 2 – Doktrin Perkahwinan Campur

Adegan seterusnya ialah sikap Khan yang berkeras untuk menikahi Mandira iaitu seorang ibu tunggal yang menganut agama Hindu. Walaupun beliau sudah diingatkan oleh Zakir (adiknya), bahawa hukum HARAM berkahwin dengan wanita yang berbeza keyakinan dan kepercayaan agama. Namun, Khan memiliki keyakinan bahawa tidak ada yang membezakan antara agama Islam dan Hindu. Sebaliknya, yang ada hanyalah manusia yang BAIK dan manusia yang JAHAT (sebagaimana yang dikatakan oleh ibunya). Tindakan Khan ini sekaligus telah menimbulkan satu perspektif yang salah kepada ajaran Islam dan syariatnya. Perkara ini tidaklah menggemparkan kita, ini kerana pelakon Shah Rukh Khan (Rizvan Khan) sendiri dalam kehidupan realitinya di luar dunia lakonan juga berkahwin dengan Gauri Khan seorang penganut Hindu. Larangan perkahwinan di kalangan umat Islam dan bukan Islam telah diterangkan oleh Allah S.W.T dengan FirmanNya yang bermaksud; 

“Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam) dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) dengan lelakilelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam). Dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. (Yang demikian ialah kerana) orang-orang kafir itu mengajak ke neraka, sedang Allah mengajak ke Syurga dan memberi keampunan dengan izinNya. Dan Allah menjelaskan ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) kepada umat manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran (daripadanya).”

Surah Al-Baqarah : Ayat 221

Adegan seterusnya amat kurang menyenangkan hati umat Islam ketika Khan dan Mandira sedang bersembahyang mengikut kepercayaan dan amalan agama masing-masing di mana Khan dengan solatnya di atas sejadah. Manakala Mandira bersembahyang dengan nyalaan lilin dan tokong berhala. Kedua-dua aksi ini telah dicantumkan menjadi SATU adegan dalam SATU upacara sembahyang secara serentak.

Adegan Khan dan Mandira bersembahyang mengikut kepercayaan dan keyakinan agama masing-masing di bawah satu bumbung. Keliru lagi mengelirukan terhadap kesucian agama Islam

Seperkara lagi ialah semasa Khan bersama keluarganya menghadiri majlis memperingati Tragedi 911 anjuran masyarakat bukan Islam. Didapati beliau dan semua tetamu yang hadir menyalakan lilin sebagai simbol BERKABUNG. Amat menjengkelkan apabila diperlihatkan adegan Khan menghulurkan cek sumbangan peribadinya berjumlah USD3,502.50 duit ZAKAT kepada penganjur yang bukan beragama Islam (sedangkan zakat hanya untuk kegunaan orang Islam).

Penyelewengan amalan memberi Zakat kepada orang bukan Islam telah dimanipulasi oleh Sutradara untuk menunjukkan kebaikan ajaran Islam. Sedangkan tindakan ini adalah Haram di sisi Islam

Perbuatan menyalakan lilin adalah amalan masyarakat bukan Islam. Kenapa perlu ditonjolkan adegan ini? Toleransi atau Manipulasi?

Scene 3- Doktrin Berdoa Dan Menyanyi Dalam Gereja

Perjalanan Khan untuk berjumpa Presiden Amerika diteruskan sehingga beliau sampai di wilayah Georgia. Di sana, beliau bertemu Mama Jenny dan Joel (anak lelakinya). Khan telah bermalam di rumah mereka dan turut sama hadir keesokkan harinya ke majlis berkabung dan memperingati perajurit yang mati di medan perang di dalam sebuah gereja. Beliau turut serta menyanyi dan memberikan ucapan di hadapan pengunjung gereja sambil berdoa bersama pemeluk agama lain secara serentak. Bukankah perbuatan ini adalah HARAM dilakukan? Allah S.W.T telah memberikan amaran keras kepada umat Islam dengan FirmanNya yang bermaksud;

“Katakanlah: “Hai orang-orang kafir, Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah, dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah. Untukmu agamamu, dan untukkulah, agamaku.”

Surah Al-Kaafirun : Ayat 1 – 6

 

Adakah tindakan ini dibenarkan dalam syariat Islam? Haram, jika umat Islam turut serta berdoa, menyanyi dan bertafakur mengikut cara agama lain dengan mengabaikan larangan Allah S.W.T

Kesimpulan

Senario yang dapat disimpulkan ini seolah-olah seperti ingin menjelaskan bagaimana sebuah NILAI KEMANUSIAAN itu akan melebihi batas-batas pemisah di antara agama. Mesej yang disampaikan oleh filem ini mungkin boleh diterima bagi mereka yang berfikiran LIBERAL dan mereka yang bersetuju dengan konsep PLURALISME. Namun bagi umat Islam yang kukuh asas KEIMANAN, ianya sangat-sangat bertentangan. Jika Mandira seorang yang beragama Yahudi atau Nasrani ianya mungkin tidak menjadi persoalan besar, kerana ada perbahasan syariat berkenaan dengan Nikah Ahli Kitab. Sebaliknya, Mandira adalah seorang penganut Hindu di mana ianya merupakan agama penyembah berhala dan bukannya dari kalangan Ahli Kitab. Oleh itu, kita perlulah mengambil sikap PEDULI terhadap ancaman Pluralisme Agama yang sentiasa menanti peluang di pintu minda kita untuk mempengaruhi segala tindak tanduk seharian. Ia terbukti melalui Firman Allah S.W.T yang bermaksud;

“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.”

Surah Al-Isra’ : Ayat 17