PLURALISME AGAMA DI DALAM FILEM “MY NAME IS KHAN” MENGUNDANG KERUNTUHAN AQIDAH UMAT ISLAM


Pendahuluan

Pernahkah anda menonton filem Bollywood arahan Sutradara Karan Johar bertajuk My Name Is Khan? Filem ini merupakan salah satu daripada filem bertaraf “Box Office” yang mula ditayangkan di pawagam pada 11 Februari 2010. Pelbagai reaksi dan maklum balas telah diberikan oleh masyarakat dunia. Ada yang memuji melangit dan ada yang mengeji mencemuh plot cerita yang digarap secara komersial tanpa merujuk kepada norma-norma agama yang sebenar. Ia bolehlah dianggap sekadar penyedap rasa untuk menghiburkan penonton yang hadir ke pawagam.

Filem “My Name Is Khan” merupakan muslihat musuh Islam dalam menjajah minda dan emosi umatnya secara halus

Plot Filem

Filem “My Name is Khan” menceritakan tentang perihal perjalanan hidup seorang anak lelaki yang dilahirkan berpenyakit Autis (Asparger Sindrome). Namanya Risvan Khan (dilakonkan oleh Shah Rukh Khan) pemuda dari India yang berpindah ke Amerika mengikuti adiknya (Zakir), kemudian ia berkahwin dengan Mandira (dilakonkan oleh Kajol Devgan) walau ditentang keluarganya kerana perbezaan agama.

Peristiwa 911 menjadi titik permulaan serangan ke atas umat Islam secara terhormat dan terancang oleh musuh Islam

Tragedi pengeboman New York, World Trade Centre (WTC) pada 11 September telah merubah landskap dan politik di Amerika di mana umat Islam dilabelkan sebagai Teroris. Kebahagian mereka yang terbina dari percantuman dua agama menjadi kompleks kerana stigma teroris yang digambarkan kepada umat muslim telah memberikan kesan negatif kepada Khan. Ekoran kematian Sam (anak lelaki Mandira), perasaan benci dan marah timbul di hati Mandira.

Ia menyebabkan Mandira tidak dapat menerima kenyataan suaminya seorang Muslim. Oleh kerana tertekan dengan perlakuan Mandira yang masih skeptikal terhadapnya maka beliau memulakan pengembaraan solonya untuk bertemu Presiden Amerika. Pada pandangan beliau, pengembaraan ini merupakan misi untuk menghapuskan stigma atau persepsi liar terhadap umat Muslim sebagai TERORIS. Dan pada masa yang sama, Khan juga mengharapkan kembalinya cinta dan kasih sayang daripada Mandira dengan menyempurnakan misi untuk menyampaikan ucapanMy Name Is Khan, I am not a terrorist kepada Presiden Amerika.

Setiap orang boleh sahaja mengatakan bahawa filem ini adalah filem yang inspiratif, mengharukan, dan penuh mesej moral. Namun, di sebalik itu semua, filem ini juga membawa nilai-nilai sejagat (universal) yang merbahaya kepada aqidah umat Islam. Di dalamnya penuh sarat akan tindakan dan perhal-hal yang bertentangan dengan syariat Islam. Salah satu nilai merbahaya yang digarapkan ke dalam filem ini adalah Pluralisme Agama. Kefahaman ini amat jelas bertentangan dengan syariat Islam di mana ia menganggap bahawa SEMUA AGAMA  SAMA BENAR. Hasil semakan dan penelitian mendapati sekurang-kurangnya terdapat tiga “scene” menonjolkan nilai-nilai Pluralisme Agama secara terang-terangan dan menggelirukan umat Islam.

Scene 1 – Doktrin Keamanan Sejagat Tanpa Perbezaan Anutan Agama

Pertembungan ideologi dan agama menjadi bom jangka kepada umat Islam yang tinggal di dalam negara bukan Islam untuk dijadikan mangsa

Di dalam filem ini digambarkan Khan ketika kecil di mana kehidupannya dikelilingi oleh situasi konflik agama di antara penganut Hindu dan Muslim. Ketika Khan berada di anjung rumahnya, beliau terdengar suara protes dan amarah masyarakat Muslim sedang marah terhadap rusuhan yang berlaku dengan melaungkan kata-kata; “musnahkan dan hancurkan…..” Ungkapan kata ini diulang-ulang oleh Khan di dalam rumahnya. Tiba-tiba beliau dimarahi oleh ibunya (Razia) sambil melarangnya dari terus mengungkap kata-kata tersebut.

Adegan Khan mendengar keluhan masyarakat Islam tentang ketidakpuasan hati terhadap penganut Hindu yang datang menyerang kampung mereka

Razia menerangkan kepada Khan tentang hakikat KEBAIKAN dan KEJAHATAN sambil memberikan contoh secara melukis gambar dua karektor berbeza di mana yang satu membawa tongkat (yang kemudian disebut orang jahat) dan orang lain yang membawa lollipop (yang kemudian dianggap sebagai orang baik). Di antara petikan dialog yang diungkapkan oleh ibunya;

“Di dunia ini hanya ada dua perbezaan, iaitu KEBAIKAN dan KEJAHATAN. Baik, jika seseorang itu berbuat kebaikan, dan Jahat sekiranya seseorang itu berbuat kejahatan. Jadi tidak ada Muslim dan Hindu.

Ideologi Pluralisme Agama telah digarap secara halus oleh sutradara dengan menonjolkan nilai-nilai kemanusian sebagai mesej utama

Jika diamati dialog di atas, sudah pasti akan tergambar di fikiran kita DOKTRIN PLURALISME AGAMA yang ingin disampaikan bahawa semua agama adalah sama. Secara umumnya, semua agama di dunia pasti mengajarkan kebaikan di dalamnya. Namun begitu, pendapat ini telah disanggah oleh Allah S.W.T secara total. Malah kita diminta menyakini Islam sebagai Ad-Diin dengan menolak KONSEP tidak ada perbezaan Islam dengan agama yang lain merujuk kepada FirmanNya yang bermaksud; 

“Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah ialah ISLAM. Dan tiada bertelingkah Ahli Kitab itu, melainkan setelah datang ilmu pengetahuan kepada mereka, disebabkan berdengki-dengkian sesama mereka. Barangsiapa mengingkari ayat-ayat Allah, maka sesungguhnya Allah itu tersangat cepat mengira.”

Surah Ali-Imran ; Ayat 19

Scene 2 – Doktrin Perkahwinan Campur

Adegan seterusnya ialah sikap Khan yang berkeras untuk menikahi Mandira iaitu seorang ibu tunggal yang menganut agama Hindu. Walaupun beliau sudah diingatkan oleh Zakir (adiknya), bahawa hukum HARAM berkahwin dengan wanita yang berbeza keyakinan dan kepercayaan agama. Namun, Khan memiliki keyakinan bahawa tidak ada yang membezakan antara agama Islam dan Hindu. Sebaliknya, yang ada hanyalah manusia yang BAIK dan manusia yang JAHAT (sebagaimana yang dikatakan oleh ibunya). Tindakan Khan ini sekaligus telah menimbulkan satu perspektif yang salah kepada ajaran Islam dan syariatnya. Perkara ini tidaklah menggemparkan kita, ini kerana pelakon Shah Rukh Khan (Rizvan Khan) sendiri dalam kehidupan realitinya di luar dunia lakonan juga berkahwin dengan Gauri Khan seorang penganut Hindu. Larangan perkahwinan di kalangan umat Islam dan bukan Islam telah diterangkan oleh Allah S.W.T dengan FirmanNya yang bermaksud; 

“Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam) dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) dengan lelakilelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam). Dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. (Yang demikian ialah kerana) orang-orang kafir itu mengajak ke neraka, sedang Allah mengajak ke Syurga dan memberi keampunan dengan izinNya. Dan Allah menjelaskan ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) kepada umat manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran (daripadanya).”

Surah Al-Baqarah : Ayat 221

Adegan seterusnya amat kurang menyenangkan hati umat Islam ketika Khan dan Mandira sedang bersembahyang mengikut kepercayaan dan amalan agama masing-masing di mana Khan dengan solatnya di atas sejadah. Manakala Mandira bersembahyang dengan nyalaan lilin dan tokong berhala. Kedua-dua aksi ini telah dicantumkan menjadi SATU adegan dalam SATU upacara sembahyang secara serentak.

Adegan Khan dan Mandira bersembahyang mengikut kepercayaan dan keyakinan agama masing-masing di bawah satu bumbung. Keliru lagi mengelirukan terhadap kesucian agama Islam

Seperkara lagi ialah semasa Khan bersama keluarganya menghadiri majlis memperingati Tragedi 911 anjuran masyarakat bukan Islam. Didapati beliau dan semua tetamu yang hadir menyalakan lilin sebagai simbol BERKABUNG. Amat menjengkelkan apabila diperlihatkan adegan Khan menghulurkan cek sumbangan peribadinya berjumlah USD3,502.50 duit ZAKAT kepada penganjur yang bukan beragama Islam (sedangkan zakat hanya untuk kegunaan orang Islam).

Penyelewengan amalan memberi Zakat kepada orang bukan Islam telah dimanipulasi oleh Sutradara untuk menunjukkan kebaikan ajaran Islam. Sedangkan tindakan ini adalah Haram di sisi Islam

Perbuatan menyalakan lilin adalah amalan masyarakat bukan Islam. Kenapa perlu ditonjolkan adegan ini? Toleransi atau Manipulasi?

Scene 3- Doktrin Berdoa Dan Menyanyi Dalam Gereja

Perjalanan Khan untuk berjumpa Presiden Amerika diteruskan sehingga beliau sampai di wilayah Georgia. Di sana, beliau bertemu Mama Jenny dan Joel (anak lelakinya). Khan telah bermalam di rumah mereka dan turut sama hadir keesokkan harinya ke majlis berkabung dan memperingati perajurit yang mati di medan perang di dalam sebuah gereja. Beliau turut serta menyanyi dan memberikan ucapan di hadapan pengunjung gereja sambil berdoa bersama pemeluk agama lain secara serentak. Bukankah perbuatan ini adalah HARAM dilakukan? Allah S.W.T telah memberikan amaran keras kepada umat Islam dengan FirmanNya yang bermaksud;

“Katakanlah: “Hai orang-orang kafir, Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah, dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah. Untukmu agamamu, dan untukkulah, agamaku.”

Surah Al-Kaafirun : Ayat 1 – 6

 

Adakah tindakan ini dibenarkan dalam syariat Islam? Haram, jika umat Islam turut serta berdoa, menyanyi dan bertafakur mengikut cara agama lain dengan mengabaikan larangan Allah S.W.T

Kesimpulan

Senario yang dapat disimpulkan ini seolah-olah seperti ingin menjelaskan bagaimana sebuah NILAI KEMANUSIAAN itu akan melebihi batas-batas pemisah di antara agama. Mesej yang disampaikan oleh filem ini mungkin boleh diterima bagi mereka yang berfikiran LIBERAL dan mereka yang bersetuju dengan konsep PLURALISME. Namun bagi umat Islam yang kukuh asas KEIMANAN, ianya sangat-sangat bertentangan. Jika Mandira seorang yang beragama Yahudi atau Nasrani ianya mungkin tidak menjadi persoalan besar, kerana ada perbahasan syariat berkenaan dengan Nikah Ahli Kitab. Sebaliknya, Mandira adalah seorang penganut Hindu di mana ianya merupakan agama penyembah berhala dan bukannya dari kalangan Ahli Kitab. Oleh itu, kita perlulah mengambil sikap PEDULI terhadap ancaman Pluralisme Agama yang sentiasa menanti peluang di pintu minda kita untuk mempengaruhi segala tindak tanduk seharian. Ia terbukti melalui Firman Allah S.W.T yang bermaksud;

“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.”

Surah Al-Isra’ : Ayat 17