Filem merupakan satu alat komunikasi yang sangat berkesan bagi menyampai dan mengetengahkan sesuatu mesej atau kritikan secara halus tanpa disedari oleh penonton samada ianya berbentuk hiburan, tauladan atau penghayatan terhadap sesuatu isu. Jodhaa Akbar merupakan filem epik arahan Ashutosh Gowariker yang terkenal dengan pengarahan filem bertemakan cinta yang diiktiraf sebagai filem termahal apabila menelan belanja lebih RM70 juta. Dengan berlatarbelakangkan kurun ke-16, kostum mewah dan nama besar seperti Aishwarya Rai serta Hrithik Roshan sebagai teraju utama, filem ini berjaya memancing perhatian ramai penonton. Ashutosh telah berjaya menggarap filem ini dengan baik sambil menerapkan unsur-unsur pluralisme dan liberalisme sebagai mesej keamanan sejagat.
Plot filem ini bermula apabila Maharaja Akbar bersetuju mengahwini Jodhaa dengan harapan dapat mengukuhkan lagi kedudukan dan hubungan yang membabitkan politik negara. Bagaimanapun, Akbar tidak menyangka meraih kemenangan di medan perang lebih mudah daripada berdepan Jodhaa. Perbezaan adat, budaya dan agama membuatkan Jodhaa sukar menerima Akbar sehingga meletakkan dua syarat jika beliau mahu berkahwin dengannnya.
Syarat pertama – Jodhaa tidak mahu menukar ke agama Islam dan akan kekal mengamalkan kepercayaan dan cara hidup agama Hindu.
Syarat kedua – Jodhaa meminta supaya sebuah kuil kecil dibina di dalam kamarnya untuk tujuan penyembahan patung berhala.
Selain daripada nilai-nilai sejarah yang menggambarkan Akbar seorang yang toleran dengan agama Hindu dan lain-lain agama, beliau juga ditonjolkan sebagai seorang yang sukakan kedamaian dan keamanan sejagat. Tetapi sayang, dalam filem ini Akbar diketengahkan sebagai seorang Maharaja yang tidak mengamalkan cara hidup Islam. Fokus filem ini lebih kepada cara hidup dan kepercayaan Jodhaa. Anologinya, Jodhaa banyak melakonkan watak sedang beribadat kepada patung berhala manakala Akbar sering digambarkan akan turut serta dalam upacara tersebut. Lebih malang lagi, watak Akbar bersolat tidak dipamerkan oleh pengarah filem. Apa yang disandarkan untuk membuktikan Akbar seorang Muslim dengan adegan pengucapan salam dan puji-pujian kepada Allah S.W.T sahaja.
Penerapan unsur-unsur pluralisme agama amat ketara dipersembahkan kepada audien dengan cara tersendiri. Anologinya semasa sesi perbincangan bersama ulama Islam. Filem ini menunjukkan kononnya Akbar tertarik dengan perumpamaan yang diutarakan oleh penasihat agamanya berkaitan cinta. “Jika aku ditanya perihal syurga nanti oleh Malaikat maka jawabnya; ia adalah tempat orang yang mempunyai cinta di dalam hati. Tetapi jika aku ditanya pula perihal neraka oleh Malaikat maka jawabnya; ia adalah tempat orang yang tiada kasih sayang dan cinta di dalam hati.”
Selain daripada babak sesi bersama ulama, unsur pluralisme agama juga dibuatkan perbandingan secara simbolik oleh pengarah filem semasa di babak selepas Akbar berkahwin dengan Jodhaa di mana pada malam perkahwinan tersebut Akbar masuk ke kamar untuk beradu tetapi Jodhaa seperti tidak selesa. Lalu Akbar berkata; jika engkau tidak bersetuju dengan perkahwinan ini untuk selamanya maka engkau boleh Khulla iaitu isteri boleh meminta agar dilepaskan ikatan perkahwinan daripada suami menurut ajaran Islam.” Tapi Jodhaa menjawab sambil berkata; ikatan perkahwinan ini adalah kekal lama sama seperti 7 kelahiran semula dengan suami menurut ajaran Hindu.”
Dari penjelasan di atas maka terbuktilah terdapatnya tangan-tangan ghaib yang cuba mengucar-kacirkan minda umat Islam dengan menerapkan unsur-unsur pluralisme agama sebagai asas kebebasan manusia sejagat. Ini kerana mereka hanya mengambil nilai-nilai baik dalam agama Islam dan dicantumkan dengan ajaran agama lain agar ianya berbentuk universal. Jika kita lalai dan alpa serta tidak memiliki jati diri yang kukuh, nescaya musuh Islam akan meningkatkan lagi serangan minda dan akhlak dari segenap penjuru alam. Oleh itu, bersiap-siagalah wahai Umat Islam, bangunlah dari tidur lena yang panjang…..
“Katakanlah: “Hai orang-orang yang kafir, aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah.Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah.Dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah. Untukmulah agamamu, dan untukkulah, agamaku“.
(Al-Quran surah Al-Kafirun (109):1-6)