“HARI ini, saya dedikasikan khusus tentang kesejahteraan dan kebajikan tuan-tuan, puan-puan serta anak-anak sekalian”
“Saya ingin mengajak tuan-tuan dan puan-puan serta anak-anak muda sekalian untuk bersama-sama saya melakar masa depan Malaysia yang menjanjikan peluang yang lebih baik dan adil untuk semua dengan satu harapan”
– Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. 11 Julai 2009
Inilah ucapan retorik PM sempena 100 hari berada di tampuk pemerintahan negara melalui pengumuman 11 hadiah mesra rakyat, antaranya membabitkan diskaun untuk pengguna jalan bertol, memerangi kemiskinan tegar di bandar, program pemilikan rumah sendiri untuk golongan berpendapatan rendah serta pengurangan bayaran lesen penjaja.
Secara dasarnya, pengumuman ini tidak memberi makna dan faedah kepada semua golongan masyarakat terutamanya rakyat marhaein di Semenanjung Malaysia. Apa tidaknya, tiga hadiah ialah perkara khusus yang diberikan tumpuan kepada kepentingan masyarakat di Sabah dan Sarawak.
Sepatutnya hadiah-hadiah seperti menambah baik akses kepada kemudahan asas seperti pembinaan jalan dan penyaluran bekalan air serta elektrik di kawasan luar bandar hendaklah dipertingkatkan di negeri-negeri pantai timur dan utara, bukan tertumpu di Sabah dan Sarawak sahaja. Inikah dinamakan kesejahteraan dan kebajikan mengikut acuan model 1Malaysia?
Kalau hendak tonjolkan keprihatinan kerajaan kepada rakyat Semenanjung pun biarlah realistik. Cuba bayangkan pengumuman Diskaun 20% kepada pengguna kad prabayar Touch ‘n Go dan SmartTag yang menggunakan tol lebuh raya 80 kali atau lebih dalam sebulan bermula 1 September 2009, merupakan cadangan “tin kosong, bunyi sahaja kuat tapi tiada apa-apa hasil”.
Contohnya, jika seorang pengguna lebuh raya yang tinggal di Bukit Beruntung berulang-alik ke tempat kerja di Jalan Duta selama 20 hari (5 hari x 4 minggu) baru mencapai 40 kali sebulan. Jadi sampai bila agaknya rakyat dapat merasa faedah hadiah istimewa yang diwar-warkan oleh PM. Kalau macam ini senarionya, bagaimana PM nak tunaikan janji kesejahteraan dan kebajikan kepada rakyat.